Polis sita 90 ‘Y suku’, 135LC malam tahun baharu

Polis sita 90 ‘Y suku’, 135LC malam tahun baharu

ANtara motosikal yang disita dalam Op Samseng sempena sambutan Tahun Baharu 2026 di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 90 buah motosikal pelbagai jenis antaranya Yamaha Y15ZR (Y suku) dan Yamaha 135LC disita atas pelbagai kesalahan mene­rusi Op Samseng Jalanan sempena sambutan Tahun Baharu 2026, awal pagi semalam.

Selain itu, polis turut mengeluarkan 778 saman terhadap kira-kira 800 motosikal yang diperiksa dalam operasi yang bermula pada pukul 2.45 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, ia dijalankan di lima lokasi sekitar ibu negara dengan memfokuskan penunggang motosikal yang melakukan ubah suai ekstrem serta pelbagai ke­salahan lalu lintas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, antara kesalahan utama dikesan adalah tiada le­sen dan cukai jalan, penggunaan ekzos diubah suai, tayar terlalu kecil atau ‘tayar sotong’ serta motosikal tanpa brek belakang yang dipercayai disengajakan.

“Kebanyakan yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun. Alasan yang diberikan hampir sama, kononnya ubah suai ekzos, tayar sotong dan tiada brek belakang hanya untuk suka-suka serta terpengaruh dengan rakan.

“Ada yang mendakwa brek belakang rosak sedangkan pe­meriksaan mendapati kompo­nen itu memang dibuang sepenuhnya. Kalau rosak, sepatutnya ditukar tetapi ini memang kosong,” katanya ketika ditemui.

Mohd. Zamzuri berkata, tindakan menanggalkan komponen keselamatan bukan sahaja me­langgar undang-undang, malah membahayakan nyawa penunggang dan pengguna jalan raya lain.

“Ini terutama apabila motosikal digunakan untuk membawa pembonceng,” katanya.

Menurutnya, operasi dilaksanakan susulan aduan orang awam termasuk penghuni hotel berhubung bunyi bising ekzos motosikal yang mengganggu ketenteraman awam.

“Ekzos ‘perang’ ini kebanyakannya dipasang sendiri dan diubah suai di bengkel dengan harga RM300 hingga RM600,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×