ALOR SETAR: Sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak 10 tahun lepas nyata memberi nilai tambah kepada produk sos dan kicap jenama Doon dengan melonjakkan jualannya sehingga 100 peratus.
Pengarah Urusan Shaidon Awang Empire Sdn. Bhd., Nor Arizah Nayan mengakui, perakuan sijil tersebut termasuk Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dari Kementerian Kesihatan banyak membantu usahawan Perindustrian mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sepertinya.
“Syarikat kami memperoleh sijil halal pada 2016 dan MeSTI pada 2020. Kedua-dua pensijilan itu sangat membantu dan membawa perubahan ketara dalam perkembangan bisnes ini.
“Jualan produk meningkat dari cuma 40 peratus kepada 100 peratus setelah memperoleh sijil itu,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Nor Arizah memberitahu, perakuan sijil halal itu membolehkan produk berkenaan menembusi pasaran di luar Kedah ketika ini.
“Dahulu produk kami hanya mampu dijual di kedai-kedai runcit sahaja tetapi kini diterima masuk ke pasaraya termasuk di luar negeri ini seperti Perlis dan Pulau Pinang.
“Pengguna sekarang sangat teliti ketika membeli barang kerana mereka akan melihat label untuk mengenalpasti adakah produk itu ada sijil halal atau tidak. Sememangnya ia memberi nilai tambah kepada produk kami,” jelas pesara guru ini.
Beliau menambah, langkah memperoleh pensijilan halal itu juga meningkatkan modal pusingan syarikat dari RM3 juta kepada RM5 juta setahun.
“Harapan kami ketika ini adalah untuk masuk ke pasar raya besar dan duduk di rak sebaris dengan produk jenama lain yang sudah lama berada di pasaran selain menembusi pasaran di nusantara ini seperti Indonesia,” katanya.
Ujarnya, beliau dan suami, Shaidon Awang, 60, yang juga pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menubuhkan syarikat tersebut bermula dengan enterprise pada 2000 sebelum melonjak kepada sdn. bhd. enam tahun kemudian dalam usaha mengembangkan perniagaan.
“Kami bermula dengan menjual keropok lekor di pasar malam yang dikenali sebagai Doon Keropok Lekor dan menghasilkan sos pencicah sendiri. Pengeluaran produk sos pencicah keropok lekor di sebuah bengkel kecil dekat rumah sebelum kami membina kilang di Pokok Sena yang kini menghasilkan sos, kicap dan cuka.
“Sasaran kami bukan sahaja pelanggan domestik tetapi juga komersial iaitu peniaga-peniaga kecil. Selain usaha keras perniagaan kami banyak dibantu oleh agensi kerajaan yang memberi bimbingan dan sokongan,” katanya.-UTUSAN










