JOHOR BAHRU: JLand Group Sdn. Bhd. (JLG) menyasarkan pelaburan bernilai RM40 bilion bagi fasa kedua projek StepWest, iaitu pembangunan pusat data berskala besar yang dijangka menjadi teras baharu kepada ekosistem digital Johor.
StepWest merupakan sambungan kepada StepEast dan terletak dalam kawasan Ibrahim Technopolis (IBTEC), sebuah hab pembangunan digital berskala besar yang dirancang sebagai zon pertumbuhan strategik bagi industri pusat data di Johor.
Pengarah Urusan Kumpulan Kumpulan JLand, Datuk Sr. Akmal Ahmad berkata, melalui StepWest fasa 2, syarikat itu menjangkakan kemasukan pelaburan gergasi teknologi global dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Katanya, peningkatan permintaan terhadap infrastruktur digital berskala hiperskala menjadi pemacu utama pembangunan StepWest, yang kini dirangka sebagai antara kawasan pertumbuhan strategik bagi industri pusat data di selatan tanah air.
“Untuk Fasa 2 StepWest, pusat data kami melibatkan pelaburan RM30 hingga RM40 bilion. Kami menjangkakan nilai ini dapat dibawa masuk ke negeri ini dalam tempoh tiga tahun.
“Bagi fasa pertama, syarikat telah memperoleh lebih daripada RM30 bilion daripada seramai 11 syarikat pelabur pusat data antarabangsa termasuk China, Amerika Syarikat (AS), Singapura dan Malaysia.
“Bagi pembinaan IBTEC, syarikat kami berhasrat untuk menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara, dengan sumbangan dijangka mencapai RM37.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2047,” katanya semasa sidang media bersempena pelancaran IBTEC di sini semalam.
Pelancaran di Dataran Mahkota diserikan dengan kehadiran Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif JCorp dan Pengerusi JLG, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama pemimpin persekutuan dan negeri, rakan strategik serta pelabur antarabangsa.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Perkongsian Strategik dan Pembangunan Perniagaan, Faezah Ayub berkata, IBTEC memberi tumpuan kepada sembilan sektor sasaran.
“Ia merangkumi robotik, pusat data, sains hayat, pusat ilmu dan latihan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), jentera, teknologi makanan, logistik dan gudang serta bioteknologi. Pada masa hadapan kami juga akan menfokuskan sektor automasi dan robotik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Strategi JLG, Ahmad Fadzli Zainudin berkata, syarikat itu menyasarkan untuk menyiapkan bangunan Livilab, yang terletak dalam IBTEC, menjelang tahun 2030.
Livilab direka oleh Zaha Hadid Architects (ZHA) dan meliputi keluasan 215,000 kaki persegi. – UTUSAN










