PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia terus mencatatkan penyusutan, turun 1.8 peratus pada November 2025 berbanding penurunan 0.1 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan itu didorong terutamanya oleh penyusutan ketara dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan yang merosot 9.7 peratus, berbanding peningkatan 2.7 peratus pada bulan sebelumnya.
“Penurunan tersebut dipengaruhi oleh kejatuhan dua digit sebanyak 16.2 peratus dalam indeks penanaman tanaman kekal.
“Sektor perlombongan turut mencatatkan penurunan lebih besar sebanyak 7.2 peratus berbanding susut 1.0 peratus pada Oktober 2025, disebabkan oleh perubahan negatif dalam indeks pengekstrakan gas asli dan pengekstrakan petroleum mentah yang masing-masing turun 11.4 peratus dan 5.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Sektor pembuatan pula mencatatkan penurunan sederhana 0.6 peratus, mengekalkan kadar penyusutan yang sama seperti bulan sebelumnya, dipengaruhi oleh penurunan 6.6 peratus dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.
Sebaliknya, sektor bekalan elektrik dan gas meningkat 4.1 peratus, manakala sektor bekalan air melonjak 10.1 peratus pada November 2025.
Mengulas prestasi bulanan, Mohd. Uzir berkata, IHPR Pengeluaran Tempatan menurun 0.3 peratus pada November 2025 selepas tiada perubahan direkodkan pada Oktober 2025.
“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menyusut 4.6 peratus berbanding peningkatan 0.9 peratus pada bulan sebelumnya, dipacu oleh penurunan dalam penanaman tanaman kekal sebanyak 7.6 peratus.
“Sektor perlombongan turut mencatatkan penurunan 0.8 peratus berbanding 4.8 peratus pada Oktober 2025, dipengaruhi oleh penurunan indeks pengekstrakan gas asli sebanyak 1.2 peratus dan petroleum mentah sebanyak 0.8 peratus,” katanya.
Bagi sektor utiliti, bekalan air dan bekalan elektrik serta gas masing-masing menurun 0.8 peratus dan 0.2 peratus.
Namun, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan sederhana 0.3 peratus, disokong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang meningkat 1.3 peratus serta pembuatan kok dan produk petroleum bertapis yang naik 0.4 peratus.
Mohd. Uzir berkata, semua peringkat pemprosesan IHPR Pengeluaran Tempatan mencatatkan perubahan negatif tahun ke tahun pada November 2025.
“Indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menurun 6.2 peratus berbanding peningkatan 1.2 peratus pada Oktober 2025, dipengaruhi oleh bahan bukan makanan yang merosot 8.4 peratus.
“Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen pula susut 1.1 peratus berbanding 0.2 peratus pada bulan sebelumnya, manakala indeks barang siap menurun 0.2 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam kelengkapan modal,” katanya.
Pada asas bulanan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya menurun 2.7 peratus, manakala indeks bahan perantaraan serta barang siap masing-masing mencatatkan peningkatan 0.2 peratus dan 0.3 peratus.
Perbandingan antarabangsa menunjukkan trend bercampur dalam harga pengeluar pada November 2025. IHPR Jepun meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun, manakala China kekal dalam deflasi pengeluar dengan penurunan 2.2 peratus, penurunan bulan ke-38 berturut-turut.
IHPR Thailand turut menyusut 1.6 peratus, menandakan sembilan bulan berturut-turut inflasi pengeluar negatif, selari dengan trend di Malaysia.
Mengulas harga komoditi, Mohd. Uzir berkata, purata harga minyak mentah Brent menurun kepada AS$63.61 setong pada November 2025 berbanding AS$64.65 setong pada bulan sebelumnya, berikutan ketidakseimbangan struktur bekalan dan permintaan global.
“Harga tandan buah segar dan minyak sawit mentah Malaysia turut menurun. Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan purata harga minyak sawit susut kepada RM4,089.50 satu tan berbanding RM4,412.50 satu tan pada Oktober 2025, terutamanya disebabkan peningkatan inventori minyak sawit,” katanya. – UTUSAN










