PETALING JAYA: Keretakan berlaku antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) semakin menyerlah ekoran Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan.
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Omar Mokhtar Manap berkata, PN bukan sahaja berdepan krisis individu, malah sedang bergelut dengan krisis kepercayaan dan kesepaduan dalam kalangan parti komponennya.
Katanya, realiti politik semasa menunjukkan PN terus dibelenggu konflik dalaman, perebutan kuasa dan kegagalan mengurus perbezaan secara matang.
“Polemik pelantikan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah selepas episod menjatuhkan Mohd Shukri Ramli daripada Pas menjadi bukti kegagalan PN bertindak tegas, berhemah serta menghormati proses dan institusi yang menjadi tunjang kestabilan negara.
“Pendirian beberapa pimpinan utama Pas yang secara terbuka menolak Bersatu menyerlahkan keretakan serius dalam PN.
“Ini mengesahkan bahawa PN bukan sahaja berdepan krisis individu, tetapi krisis kepercayaan dan kesepaduan antara parti komponennya, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pembangkang menawarkan alternatif tadbir urus yang meyakinkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan meletakkan jawatan Pengerusi PN berkuatkuasa 1 Januari ini.
Omar berkata, rakyat mengharapkan kepemimpinan stabil, berintegriti dan berfokus kepada agenda pemulihan ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan serta masa depan generasi muda.
“Politik yang sarat dengan konflik dan percaturan kuasa hanya mengalihkan perhatian daripada keperluan sebenar rakyat,” katanya. – UTUSAN










