LONDON: Sebuah universiti terkemuka di Britain mencadangkan peperiksaan dan penulisan esei dimansuhkan kerana didakwa memberi kelebihan tidak adil kepada pelajar kulit putih, sekali gus menyukarkan pelajar daripada latar belakang etnik minoriti untuk cemerlang.
Universiti Birmingham menerusi satu laporan baharu menyatakan kaedah penilaian tradisional berkenaan dianggap sebagai ukuran ‘kepintaran berasaskan keistimewaan kulit putih’.
Institusi itu mendakwa sistem sedia ada menyumbang kepada ketidaksamaan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar.
Universiti berkenaan yang tergolong dalam kumpulan elit Russell Group, mengemukakan cadangan tersebut sebagai usaha untuk ‘meneutralkan’ sekolah perniagaannya.
Menurut laporan itu, struktur dan sistem pengajian perniagaan perlu diubah bagi memutuskan kaitan dengan kolonialisme dan legasinya.
Dalam ulasan yang diterbitkan bersama laporan tersebut, Prof. Sally Everett dari King’s College London berkata, wujudnya ‘kelebihan tidak diperoleh kerana berkulit putih’ serta menyeru penilaian akademik dineutralkan
Beliau mencadangkan kaedah penilaian berisiko rendah seperti jurnal reflektif menggantikan peperiksaan dan esei berperingkat.
Laporan itu turut menyimpulkan peperiksaan bertempoh dan esei bergred berpotensi menjadi ‘alat pengecualian’ kerana didakwa meminggirkan bentuk pengetahuan dan kemahiran daripada tradisi bukan Barat.
Namun, cadangan tersebut menerima kritikan keras daripada pelbagai pihak. Aktivis pendidikan, Chris McGovern menyifatkan langkah itu mencemarkan integriti akademik dan menegaskan penilaian bertulis menilai kecerdasan, bukan kaum.
Universiti Birmingham mempertahankan inisiatif berkenaan dengan menyatakan projek itu berasaskan penyelidikan akademik yang ketat serta perbincangan meluas.










