Hot Bird yakin pertumbuhan pesat selepas peroleh halal

Hot Bird yakin pertumbuhan pesat selepas peroleh halal

HADI NADZRI (kanan) menunjukkan menu yang telah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini. – UTUSAN/ AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rangkaian makanan segera tempatan, Hot Bird, yakin melihat pertumbuhan yang lebih pesat selepas menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi dapur utama dan kesemua cawangannya baru-baru ini.

Pengurus Pemasaran Hot Bird, Hadi Nadzri berkata, pihaknya telah merancang mendapatkan pensijilan halal bagi semua cawangan serta dapur utama sejak 2022. 

Katanya, permohonan rasmi dibuat pada 2025 dan enam bulan sebelum itu pihaknya telah menjalankan penilaian dalaman dan pemeriksaan rapi untuk memastikan tahap kesiapsiagaan syarikat dalam kehendak memenuhi pensijilan halal.

“Kini kami mengesahkan semua produk dari Central Kitchen (dapur utama) dan keseluruhan rangkaian cawangan telah memperoleh pensijilan halal Jakim, sekali gus mengukuh­kan kedudukan kami dalam pasaran makanan halal negara.

“Pihak kami juga mewujudkan Jabatan Halal Dalaman bagi memantau dan mengawal selia bagi memastikan setiap pembekal mematuhi piawaian halal. 

“Langkah memohon sijil tersebut dibuat sejak awal kerana kepentingan memastikan keyakinan pengguna Islam dan mematuhi standard industri yang lebih tinggi. Halal bukan hanya isu pematuhan syariah, tetapi ia merangkumi aspek kebersihan, keselamatan makanan dan kualiti operasi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. 

Beliau berkata, pensijilan halal turut dilihat sebagai faktor yang memperkukuh imej Hot Bird sebagai jenama yang telus, bertanggungjawab serta dipercayai oleh pengguna pelbagai kaum.

Hot Bird merupakan rangkaian Nashville ayam goreng pertama di Malaysia yang mengetengahkan konsep ayam goreng gaya Nashville.

Bermula dengan harga bermula RM23.90 hingga RM139.90 menggunakan ayam disaluti tepung dan digoreng rangup sebelum dicelup dengan cili signature dan diperisakan dengan serbuk cili adunan khas mengikut tahap kepedasan pilihan pelanggan.

Setakat ini, Hot Bird dilaporkan telah menjual kira-kira 300 tan ayam goreng, bersamaan hampir dua juta ekor ayam, bergantung kepada permintaan bagi setiap cawangan.

Hadi turut menggesa peniaga makanan dan minuman (F&B) lain agar melihat pensijilan halal sebagai pelaburan strategik jangka panjang, bukan sekadar pematuhan.

“Pensijilan bukan kekurangan, tetapi kelebihan besar yang boleh meningkatkan nilai jenama serta kepercayaan pengguna,” katanya.

Dengan perkembangan ini, Hot Bird dijangka terus memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu pemain F&B tempatan yang menepati standard halal bertaraf antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN