KUALA LUMPUR: Pengeluar produk makanan sejuk beku, Hasz Frozen menyasarkan untuk menembusi pasaran Jepun dan Asia Barat dalam tempoh tiga tahun menerusi usaha mendapatkan pensijilan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).
Pengasas Bersama Hasz, Nurul Najihah Mohamad Nazri berkata, memperoleh pensijilan tersebut merupakan langkah utama untuk membuka laluan eksport ke kedua-dua pasaran berkenaan.
Menurutnya, usaha itu dirancang selepas berjaya memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2022.
“Langkah ini ditetapkan dengan sasaran untuk dicapai pada 2027, paling lewat 2030.
“Pada masa sama, kami turut merangka strategi untuk mengukuhkan jenama di pasaran tempatan, termasuk memperluas saluran jualan serta meningkatkan kesedaran terhadap produk keluarannya.
“Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan ini, kami merancang membuka rangkaian Hasz Mart iaitu kedai konsep sejuk beku yang memberi tumpuan kepada pembekalan untuk peniaga kecil seperti pengusaha burger, ayam gunting dan steamboat.
“Hasz Mart ini disasarkan di kawasan berpenduduk majoriti Melayu, khususnya sekitar Lembah Klang.
“Buat masa ini, produk Hasz hanya ditawarkan melalui platform dalam talian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hasz memperkenalkan beberapa segmen menarik di bawah jenamanya, termasuk Big Fat Sausage, Hasz Street Burger serta Bambol dan produk hiliran lain.
Big Fat Sausages mendapat tumpuan melalui pemasaran dalam talian sepenuhnya, terutamanya di TikTok, manakala Hasz Street Burger banyak dibekalkan kepada peniaga di kiosk‑kiosk sekitar Selangor dan Perak.
Sementara itu, Bambol dan produk hiliran lain terus menembusi pasaran secara luar talian, memastikan jenama Hasz mudah diakses oleh semua lapisan pelanggan.
Menurutnya, sebelum memperoleh sijil halal, Hasz kurang melakukan aktiviti pemasaran kerana tiada pihak berkuasa yang mengesahkan produk mereka.
“Selepas mendapat sijil halal, kami melihat keyakinan pelanggan meningkat 100 peratus,” katanya. – UTUSAN










