Harga besi terus susut pada November - Utusan Malaysia

Harga besi terus susut pada November

Harga besi menurun pada November 2025. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks harga seunit besi terus susut pada November 2025 apabila merekodkan penurunan antara -0.1 peratus hingga -3.2 peratus berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan tertinggi dicatatkan di Miri (-3.2 peratus), diikuti Kota Kinabalu (-3.1 peratus) dan Pahang (-0.8 peratus), sekali gus menggambarkan tekanan harga berterusan dalam bahan binaan utama itu.

Katanya, indeks harga keratan keluli dan logam turut menunjukkan penyederhanaan dengan penurunan kecil antara -0.1 peratus hingga -3.0 peratus di semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Bagi bahan binaan lain, indeks harga seunit simen kekal stabil di kebanyakan kawasan kecuali peningkatan kecil di Pahang (2.6 peratus), Perak (1.9 peratus) dan Kuching (0.9 peratus). Indeks harga pasir juga tidak berubah kecuali peningkatan 1.4 peratus di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, dalam perbandingan tahun ke tahun bagi tempoh November 2024 hingga November 2025, indeks harga seunit besi merekodkan penurunan lebih ketara iaitu antara -2.7 peratus hingga -7.9 peratus. 

“Kota Kinabalu mencatatkan penurunan tertinggi (-7.9 peratus), diikuti Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta Sibu (masing-masing -7.5 peratus).

“Sebaliknya, indeks harga seunit simen mengikut tahun meningkat antara 0.5 peratus hingga 4.5 peratus bagi semua kawasan. Pahang mencatatkan peningkatan tertinggi (4.5 peratus), diikuti Tawau (3.9 peratus) dan Sandakan (3.5 peratus),” katanya. 

Tambah beliau, purata harga seunit besi merangkumi bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars menurun 0.9 peratus kepada RM3,509.60 per tan metrik berbanding Oktober 2025 (RM3,540.70).

“Purata harga simen Ordinary Portland pula meningkat 1.4 peratus dengan harga RM24.35 bagi setiap 50 kilogram, berbanding RM24.00 pada bulan sebelumnya,” tambahnya. 

Sementara itu, Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan peningkatan kecil antara 0.1 peratus hingga 0.4 peratus pada November 2025.

Peningkatan itu direkodkan bagi semua kategori bangunan, menandakan kos pembinaan di Semenanjung terus bergerak pada kadar sederhana meskipun harga besi menurun.

“Di Sabah, IKB termasuk bar keluli turun antara -0.2 peratus hingga -1.5 peratus bagi semua kategori bangunan dan kawasan. 

“Trend sama turut direkodkan di Sarawak yang mencatat penurunan kecil antara -0.1 peratus hingga -1.8 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN