PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai terlibat dalam kejadian kebakaran sebuah unit kondominium di Bangi yang berpunca daripada penyimpanan mercun tanpa lesen.
Lelaki berusia 33 tahun itu yang juga seorang peniaga ditahan kira-kira pukul 12.17 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati kebakaran yang berlaku pada pukul 10.50 malam dipercayai berpunca daripada letupan beberapa kotak mercun yang dibeli dan disimpan untuk tujuan jualan tanpa sebarang lesen atau permit yang sah.
“Kejadian tersebut menyebabkan keseluruhan unit kondominium terbabit terbakar. Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Bangi tidak lama selepas kejadian dilaporkan,” katanya dalam satu
kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, jumlah kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan dan laporan kebakaran (Fire Report) sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.
Naazron berkata, suspek akan dibawa ke hadapan Majistret bagi permohonan reman dalam masa terdekat.
“Orang ramai dinasihati supaya tidak menyimpan atau mengendalikan bahan letupan tanpa lesen kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima satu panggilan kecemasan berhubung kebakaran yang didapati menyimpan sejumlah besar mercun.
Dalam kejadian itu tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Setibanya pihak bomba di lokasi mendapati mendapati bilik yang mengandungi bahan letupan dipercayai mercun terbakar 80 peratus. – UTUSAN










