Kadar zakat fitrah Pahang RM8 hingga RM21

Kadar zakat fitrah Pahang RM8 hingga RM21

AHMAD Hairi Hussain (tengah) menunjukkan kadar zakat fitrah tahun 2026 pada Majlis Pengumuman Zakat Fitrah Negeri Pahang di Pejabat Muip di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Kadar zakat fitrah 2026 di negeri ini ditetapkan pada kadar minimum RM8 seorang, meningkat berbanding RM7 pada tahun lalu, selaras dengan perkembangan semasa dan kos sara hidup rakyat.

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) memaklumkan, penetapan kadar baharu itu dibuat hasil kajian terperinci yang dijalankan di pasar raya terpilih di seluruh negeri, khususnya melibatkan trend pembelian beras oleh penduduk negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kajian tersebut mendapati majoriti umat Islam di negeri ini menggunakan beras putih tempatan standard sebagai makanan harian, sekali gus menjadi asas kepada penetapan kadar minimum zakat fitrah.

“Penetapan kadar zakat fitrah RM8 ini dibuat berdasarkan kajian lapangan yang dilaksanakan pihak Muip di pasar raya, mengambil kira harga dan corak pembelian beras oleh masyarakat, khususnya beras tempatan standard yang menjadi pilihan utama rakyat Pahang.

“Kenaikan kadar itu juga mengambil kira perubahan harga pasaran semasa serta keperluan memastikan golongan asnaf menerima manfaat zakat secara lebih berkesan dan mencukupi.

“Selain kadar minimum RM8 bagi pengguna beras putih tempatan, Muip turut menetapkan kadar zakat fitrah RM14 bagi pengguna beras import atau yang setara, manakala RM21 bagi pengguna beras basmati atau yang setaraf,” katanya pada majlis pengumumkan zakat fitrah negeri Pahang tahun 2026 di Pejabat Muip di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Hairi, langkah pelarasan kadar tersebut dibuat secara berhemah dan tidak membebankan, sebaliknya bertujuan memastikan kewajipan zakat fitrah dapat dilaksanakan selari dengan realiti ekonomi semasa.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan umat Islam di Pahang agar menunaikan zakat fitrah bermula awal Ramadan sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri, serta membayar zakat hanya kepada amil yang dilantik secara sah oleh Muip.

Katanya, majlis itu terus memperluas kaedah kutipan zakat fitrah secara digital bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan mereka dengan lebih sistematik, cekap dan telus selaras dengan perkembangan teknologi semasa. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN