Hackathon AI terbesar negara himpun 684 peserta, hasilkan 140 projek dalam 24 jam - Utusan Malaysia

Hackathon AI terbesar negara himpun 684 peserta, hasilkan 140 projek dalam 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hackathon Kecerdasan Buatan (AI) terbesar negara berjaya menghimpunkan seramai 684 pembangun, pereka dan pengasas syarikat pemula selama 24 jam berturut-turut di Universiti Monash Malaysia, sekali gus membuktikan potensi besar bakat teknologi tempatan.

Penganjur acaranya, Faw berkata, format Hackathon selama 24 jam itu mewujudkan pengalaman luar biasa yang jarang ditawarkan dalam persidangan teknologi konvensional.

“Pasukan dibentuk pada pagi hari pertama, peserta menulis kod sepanjang malam dan membentangkan aplikasi lengkap menjelang petang Ahad.

“Pendekatan ini menguji daya tahan, kreativiti dan keupayaan teknikal peserta dalam situasi sebenar pembangunan produk,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, acara tersebut mendapat sokongan syarikat teknologi global bernilai berbilion dolar termasuk Cursor, Anthropic, AWS, Vercel, Groq, ElevenLabs serta lebih 20 penaja lain.

“Peserta bukan sahaja menerima tajaan, malah diberikan akses terus kepada alat pembangunan AI sebenar, termasuk kredit pembangunan sehingga RM20,440 serta akses API Claude bernilai RM4,088 kepada pasukan pemenang,” katanya.

Acara dikenali sebagai Cursor x Anthropic Hackathon Malaysia itu menyaksikan sebanyak 140 projek AI berjaya dibangunkan dan dibentangkan oleh peserta dalam tempoh yang singkat menerusi format pembangunan intensif.

Projek yang dibangunkan merangkumi pelbagai bidang termasuk AI suara, pangkalan data perusahaan, perbankan digital serta alat kreatif, dengan sekitar 28 peratus pasukan memberi tumpuan kepada penyelesaian perbankan digital.

Sementara itu, pengasas AI Tinkerers Kuala Lumpur merangkap salah seorang juri, Joseph Chin berkata, kualiti projek yang dihasilkan peserta Malaysia adalah sangat memberangsangkan.

“Malah, dua beradik yang pertama kali menyertai hackathon berjaya muncul juara keseluruhan pertandingan ini.

“Kejayaan penganjuran ini membuktikan potensi besar bakat teknologi tempatan dan menjadi permulaan kukuh kepada pembangunan ekosistem AI negara,” katanya.

Hackathon tersebut merupakan sebahagian daripada festival AI Builders SEA yang berlangsung selama dua minggu merentasi lima negara Asia Tenggara, bertujuan membina komuniti pembangunan AI serantau dan rangkaian profesional rentas negara.

Sepanjang penganjuran, peserta turut berpeluang menyertai bengkel berkaitan aliran kerja dan teknik pembangunan AI terkini, selain disokong oleh lebih 70 sukarelawan bagi memastikan kelancaran acara sepanjang 24 jam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN