E&O lancar rumah kelab, presint komersial

E&O kukuh kedudukan di Lembah Klang dengan lancar rumah kelab, presint komersial

KOK Tuck Cheong ( dua dari kiri) bersama Pengerusi Eksekutif E&O, Datuk Seri Tee Eng Ho (tengah) merasmikan permulaan projek Kelab & Kawasan Komersial oleh E&O di Bandar Elmina.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eastern & Oriental Berhad (E&O) memperkukuhkan kedudukannya di Lembah Klang dengan pelancaran serentak rumah kelab pertama dan presint komersial di Bandar Elmina, Sungai Buloh.

Pengarah Urusan Eastern & Oriental, Kok Tuck Cheong berkata, perkembangan itu sejajar dengan komitmen berterusan E&O untuk mewujudkan kediaman yang menampilkan keindahan malar segar dan nilai yang berpanjangan.

“Terletak indah di Seri Embun iaitu perbandaran perintis E&O di Elmina, rumah kelab dan presint komersial menjadi bukti kepada falsafah kami.

“Ia adalah usaha membina persekitaran berpacukan reka bentuk yang menggabungkan elemen kesejahteraan, alam semula jadi dan komuniti secara harmoni.

“Pencapaian ini turut mencerminkan pertumbuhan strategik E&O di satu daripada kawasan yang paling dinamik dan mudah dihubungkan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemilik rumah hari ini bukan sekadar membeli hartanah, malah mereka juga melabur dalam gaya hidup yang mencerminkan aspirasi mereka terhadap kesihatan, reka bentuk dan komuniti.

“Visi kami untuk Seri Embun yang diperkukuh oleh rumah kelab ini adalah untuk membina persekitaran kehidupan yang meraikan nilai-nilai tersebut, sekali gus menawarkan keseimbangan yang unik antara kecanggihan, kelestarian dan ketenangan,” ujarnya.

Rumah Kelab E&O Elmina berfungsi sebagai nadi kepada Seri Embun iaitu sebuah kawasan kediaman yang peribadi serta selamat dalam presint berpagar serta berpengawal dengan akses terkawal.

Rumah kelab itu akan mempertingkatkan kualiti hidup penduduk sebagai hab gaya hidup utama yang mencipta pengalaman premium berinspirasikan resort.

Antara kemudahan yang disediakan termasuklah gimnasium, kolam renang, kolam kanak-kanak, dewan serba guna, taman permainan kanak-kanak dan taman landskap.

Ia turut merangkumi taman herba, teres taman, laman acara, laman yoga, wakaf, surau dan jakuzi, semuanya disepadukan dengan teliti dalam persekitaran yang subur dan menenangkan.

Sementara itu, koleksi pertama lot komersial E&O di Elmina dengan harga bermula daripada RM2.46 juta terletak strategik pada kedudukan kurang 500 meter dari perbandaran baharu Seri Embun.

Ia sekali gus menawarkan peluang menarik kepada pelabur dan pemilik perniagaan yang mencari lokasi berhadapan dengan jalan utama dalam kawasan perbandaran yang sedang pesat membangun.

Meliputi 6.11 hektar tanah pegangan bebas yang amat bernilai, Laman Embun menampilkan 110 unit pejabat kedai dua dan tiga tingkat, dengan keluasan antara 3,256 hingga 10,883 kaki persegi.

Dengan saiz lot bermula daripada 22’ x 75’, pembangunan ini menawarkan fleksibiliti untuk menampung pelbagai konsep runcit, makan minum dan gaya hidup.

Ia direka khusus untuk mencapai Pensijilan GreenRE Tahap Perak, presint ini mencerminkan komitmen E&O terhadap kelestarian dan tanggungjawab alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN