Eksport maritim ke UAE catat jualan RM404.17 juta

Eksport maritim ke UAE catat jualan RM404.17 juta

matrade
MATRADE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Misi Pemerkasaan Eksport dalam Industri Maritim ke Abu Dhabi dan Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) meraih jumlah jualan eksport sebanyak RM404.17 juta (AS$94.83 juta), melebihi sasaran awal iaitu RM200 juta. 

Misi perdagangan berimpak tinggi yang diketuai oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) itu bertujuan mewujudkan rangkaian perniagaan strategik yang memberi tumpuan kepada sektor maritim Malaysia. 

Matrade berkata, keputusan memberangsangkan tersebut menunjukkan peningkatan daya saing serta kepentingan strategik kepakaran Malaysia dalam arena maritim global.

Katanya, misi selama empat hari itu, yang berlangsung dari 3 hingga 6 November 2025, menghimpunkan delegasi kukuh terdiri daripada 10 peneraju industri maritim Malaysia merentasi pelbagai subsektor.

“Ini termasuk Pembinaan dan Pembaikan Kapal (SBSR), kejuruteraan marin, reka bentuk kapal, perkhidmatan pelabuhan serta perkhidmatan sokongan luar pesisir yang penting. 

“Program ini merangkumi sesi pertemuan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) berimpak tinggi dan lawatan industri yang direka bagi memudahkan penglibatan langsung antara pemain utama industri maritim Malaysia dan pembuat keputusan dalam ekosistem maritim UAE.

“Usaha ini dirancang secara strategik untuk memanfaatkan akses pasaran dan rangka kerja fasilitasi perniagaan melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (MY-UAE CEPA) yang dimeterai baru-baru ini.

“Ia sekali gus menjamin kekuatan perdagangan dua hala dalam jangka masa terdekat dan panjang,” katanya dalam kenyataan. 

Kejayaan misi itu membuktikan keserasian kukuh antara kepakaran mendalam Malaysia dalam bidang seperti Vessel Sokongan Luar Pesisir (OSV) dan industri pelabuhan serta luar pesisir UAE yang berkembang pesat. 

Ia menandakan langkah penting ke arah aspirasi Malaysia untuk menjadi hab perkhidmatan maritim utama bagi Laluan Sutera Maritim ke rantau Asia Barat. 

Limbungan kapal Malaysia menawarkan kepakaran teknikal bertaraf dunia pada kos yang kompetitif dan kerjasama dengan UAE akan mengukuhkan lagi rantaian bekalan maritim serantau bersama.

Mengukuhkan lagi pandangan itu, Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) menegaskan industri SBSR Malaysia menggabungkan kemahiran, inovasi dan kebolehpercayaan, bersedia untuk memenuhi keperluan rakan global dengan kualiti serta komitmen bertaraf dunia. 

“Industri maritim Malaysia mempunyai kelebihan daya saing yang terbukti hasil kedudukan strategiknya berdekatan operasi minyak dan gas utama di rantau ini.

“Ini merangkumi rekod pencapaian yang memberangsangkan setelah berjaya menghantar kira-kira 300 OSV ke seluruh dunia sejak 2005.

“Ia sekali gus membuktikan kepakaran mendalam dalam pembinaan kompleks dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan serta kerjasama yang dipercayai bagi syarikat tenaga dan maritim gergasi UAE,” ujarnya. 

Pada 2024, eksport maritim Malaysia ke UAE direkodkan pada RM45.9 juta dengan tiga kategori eksport utama terdiri daripada kapal tunda dan kapal penolak, kapal persiaran dan kapal kargo serta kapal ringan. 

Pada masa yang sama, eksport maritim Malaysia ke seluruh dunia direkodkan sebanyak RM1.97 bilion pada 2024, peningkatan ketara sebanyak 109.7 peratus berbanding 2023, menandakan keyakinan global serta permintaan kukuh terhadap produk dan perkhidmatan maritim Malaysia. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×