KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memeterai memorandum kerjasama bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan serta perkongsian data berkaitan aktiviti koperasi di seluruh negara.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kerjasama itu bertepatan dengan pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 yang akan melibatkan kira-kira 1.2 juta entiti perniagaan termasuk lebih 10,000 koperasi aktif di Malaysia.
Katanya, kerjasama tersebut penting bagi memastikan setiap aktiviti ekonomi negara dapat diukur secara komprehensif, termasuk sumbangan sektor koperasi terhadap peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.
“Data granular amat diperlukan untuk menilai pencapaian dan kejayaan koperasi mengikut sektor. Melalui Banci Ekonomi 2026, kita akan memperoleh garis dasar statistik untuk perancangan yang lebih kukuh,” katanya dalam satu Majlis MoU antara DOSM dan SKM di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, koperasi mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, pertanian dan keusahawanan, selaras dengan usaha membudayakan kreativiti dan keusahawanan sejak peringkat sekolah.
Beliau berkata, Banci Pertanian baru-baru ini yang menunjukkan koperasi mampu membantu menurunkan kos input pertanian melalui pembelian pukal dengan meningkatkan daya saing dan menstabilkan harga pasaran.
“Kejayaan koperasi di Malaysia juga boleh dibandingkan dengan negara lain berdasarkan data antarabangsa, dan ini memberi ruang untuk kita menilai potensi serta hala tuju gerakan koperasi negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Noor Afifah Abdul Razak berkata, Malaysia mempunyai 16,284 koperasi dengan lebih 10,000 daripadanya aktif dan sektor itu merekodkan perolehan sebanyak RM68 bilion pada 2024.
Katanya, kerjasama dengan DOSM diharap dapat membantu mengukur sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta memperkukuh dasar-dasar pembangunan ekonomi negara.
“Kita sering terlepas pandang bahawa koperasi merupakan entiti perniagaan yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi. Dengan data yang lebih menyeluruh, kerajaan dapat merangka dasar yang lebih tepat bagi memperkasa gerakan koperasi,” katanya.-UTUSAN










