Dividen ASB kekal 5.75 sen seunit, bayaran keseluruhan tertinggi

Dividen ASB kekal 5.75 sen seunit, bayaran keseluruhan tertinggi RM10.42 bilion

JUMLAH pembayaran keseluruhan adalah sebanyak RM10.42 bilion dan akan memberi manfaat kepada 11.4 juta pemegang unit ASB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Jumlah pembayaran keseluruhan adalah sebanyak RM10.42 bilion dan akan memberi manfaat kepada 11.4 juta pemegang unit ASB.

ASB mengekalkan kadar pengagihan dividennya berbanding 2024 dan terus memberikan pulangan mampan yang mengatasi pasaran apabila ia berjaya meningkatkan jurang daya saing berbanding penanda arasnya, iaitu kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank, yang mencatatkan kadar purata 2.29 peratus, kepada 346 mata asas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Prestasi pengagihan dividen yang kukuh dan berterusan ini dicapai dalam persekitaran pasaran ekuiti awam domestik yang mencabar, di mana FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat pulangan harga sebanyak -0.3 peratus sehingga kini bagi tahun ini.

Pasaran ekuiti domestik terjejas oleh aliran keluar dana asing yang berterusan serta sentimen pelabur yang berhati-hati, meskipun prestasi asas ekonomi Malaysia kekal positif dengan pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 dijangka mencapai antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus.

Negara juga menyaksikan kemasukan pelaburan yang ketara serta pengukuhan nilai ringgit yang meningkat sebanyak 8.7 peratus kepada RM4.09 bagi setiap AS$1.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, selama lebih 46 tahun, PNB telah diamanahkan untuk melindungi simpanan hasil titik peluh rakyat. 

“Kami berbesar hati dapat mengekalkan pengagihan dividen ASB sebanyak 5.75 sen, dengan jumlah pembayaran RM10.4 bilion, iaitu jumlah pengagihan tahunan tertinggi yang dibayar

sejak penubuhan ASB. 

“Ini menjadikan jumlah kumulatif pengagihan pendapatan ASB sebanyak RM206.7 bilion, mencerminkan ketahanan dan kekuatan portfolio pelaburan ASB,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, ASNB telah mengagihkan dividen berjumlah RM15.3 bilion pada 2025 iaitu yang tertinggi pernah dicatat, menjadikan jumlah keseluruhan pengagihan sejak penubuhan mencecah RM279 bilion.

Pencapaian ini mencerminkan trajektori prestasi yang positif dan konsisten merentasi semua 18 dana unit amanahnya, termasuk ASB dan Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi dana harga tetap serta ASN Equity, ASN Imbang dan ASN Sara bagi dana harga berubah-ubah.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya telah memasuki tahun kedua pelaksanaan Pelan Strategik LEAP-6 PNB

“Kami telah mencatatkan prestasi yang baik merentasi fokus utama, iaitu meningkatkan aliran masuk bersih pelanggan, menyampaikan pengagihan pendapatan yang mampan kepada pemegang unit, serta memperkukuh modal proprietari PNB. 

“Ini telah menghasilkan peningkatan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) sebanyak 4.5 peratus kepada RM364 bilion dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran AUM

sebanyak RM400 bilion menjelang 2027,” katanya.

Jumlah pemegang akaun unik ASNB kekal stabil pada 13 juta, disokong oleh pertambahan kasar sebanyak 560,000 pemegang akaun sepanjang tahun, mencerminkan kepercayaan dan kesetiaan orang ramai yang berterusan.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASB adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut. 

Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2026.

Transaksi bagi ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 27 hingga 31 Disember 2025,” katanya.

Pemegang unit boleh menyambung semula transaksi melalui semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2026 dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB mulai 2 Januari 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini