PETALING JAYA: Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM), anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM), berjaya mengambil alih Spirit AeroSystems Malaysia Sdn. Bhd. (Spirit MY).
Ini susulan kelulusan daripada para pemegang saham DRB-HICOM pada 14 November 2025 serta kelulusan Suruhanjaya Eropah dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat, yang telah diumumkan kepada umum masing-masing pada 14 Oktober 2025 dan 3 Disember 2025.
DRB-HICOM berkata, pengambilalihan ini menyediakan peluang strategik untuk mengukuhkan lagi kedudukan daya saing CTRM dalam industri aeroangkasa dengan meningkatkan kepakaran aerostruktur syarikat.
“Ini dijangka menyumbang kepada penambahbaikan dari segi skala, kecekapan dan pertumbuhan dalam pelbagai bidang yang akan meningkatkan kehadiran CTRM dalam program-program aeroangkasa utama serta memperkukuh hubungan dengan OEM global.
“Ia termasuk pengembangan kerjasama CTRM dengan Airbus bagi program A220, A320 dan A350, serta dengan Boeing bagi program 737 dan 787,” katanya dalam kenyataan.
Dengan pengambilalihan Spirit MY, Kumpulan CTRM akan mempunyai platform yang lebih kukuh untuk meneruskan penambahbaikan berterusan, disiplin operasi serta memacu penciptaan nilai jangka panjang untuk para pemegang taruhnya.
“Organisasi gabungan ini mewujudkan kapasiti yang lebih besar untuk pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja, kemajuan teknologi dan inisiatif kelestarian, semua faktor penting untuk memenuhi permintaan industri masa hadapan dan memastikan peranan CTRM sebagai pemain aeroangkasa yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan,” katanya.-UTUSAN










