CIMB Islamic peruntuk RM2.4 juta perluas program iTEKAD

CIMB Islamic peruntuk RM2.4 juta perluas program iTEKAD, manfaat 220 usahawan mikro

RAMAI 60 pekerja gig diberikan motorsikal baharu melalui Program Kewirausahaan Pengendara Islam iTEKAD CIMB di Projek Perumahan Rakyat di Bukit Jalil baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Islamic Bank Berhad memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta bagi memperkukuh dan memperluaskan pelaksanaan Program iTEKAD, inisiatif utama bank itu dalam memperkasa usahawan mikro, pekerja gig dan agropreneur di seluruh negara.

Melalui peluasan terbaharu itu, program berkenaan dijangka memberi peluang peningkatan pendapatan kepada sehingga 220 peserta, merangkumi bantuan kewangan, latihan keusahawanan serta sokongan pembinaan kapasiti perniagaan.

Menurut kenyataan, program iTEKAD dilaksanakan menerusi tiga inisiatif utama di bawah satu platform, iaitu Program Keusahawanan iTEKAD CIMB Islamic–Taylor’s, Program Keusahawanan Rider iTEKAD CIMB Islamic serta Program Agropreneur Graduan Melon Manis Terengganu iTEKAD CIMB Islamic.

Ketiga-tiga inisiatif ini menggunakan struktur pembiayaan gabungan yang menggabungkan geran padanan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bersama peruntukan dana Zakat Wakalah CIMB Islamic bagi memastikan penyaluran modal yang lebih bersasar dan berimpak tinggi terhadap pertumbuhan pendapatan peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd. Shariff berkata, pemerkasaan kewangan bukan sekadar menangani cabaran jangka pendek, sebaliknya bertujuan membina mobiliti ekonomi dan daya tahan jangka panjang.

“Melalui Program iTEKAD, kami berhasrat menyediakan sokongan bukan sahaja dalam bentuk kewangan, malah pengetahuan, kemahiran dan rangkaian yang diperlukan oleh komuniti kurang mendapat akses untuk berkembang serta beralih daripada kebergantungan kepada keupayaan berdikari dan pertumbuhan perniagaan,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan CIMB Islamic terhadap kewangan inklusif dan keadilan sosial, selari dengan aspirasi bank untuk memajukan pelanggan dan masyarakat secara menyeluruh.

CIMB Islamic turut bekerjasama rapat dengan BNM serta rakan strategik program seperti Yayasan Belia Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Zakat Selangor, Taylor’s Community dan Foodpanda.

Jelasnya, ini dalam usaha merealisasikan visi bersama memperkasa komuniti serta mewujudkan sumber pendapatan yang mampan.

Sejak diperkenalkan, Program Keusahawanan Rider iTEKAD CIMB Islamic telah berjaya membantu lebih 200 pekerja gig beralih kepada pemilikan perniagaan dengan pelaksanaan diperluas daripada Lembah Klang ke Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Program Keusahawanan iTEKAD CIMB Islamic–Taylor’s telah menyokong lebih 500 usahawan mikro daripada golongan asnaf dan B40 melalui pemberian geran perniagaan serta latihan berstruktur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN