Astrum Ampang capai jualan 95 peratus 

Astrum Ampang capai jualan 95 peratus 

Majlis Topping Out Astrum Ampang oleh Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Corporation Malaysia, Datuk Seri Mohd. Nazri Md. Shariff bersama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan PR1MA, Datuk Zulkarnain Zainuddin hari ini. / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Astrum Ampang, projek Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) utama oleh Setia Awan Group yang bakal siap pada suku pertama tahun depan telah mencapai jualan sebanyak 95 peratus.

Selain itu, sebanyak 712 unit rumah mampu milik dan pangsapuri servis di bawah PR1MA Corp Malaysia (PR1MA) yang terletak di Menara A, telah dijual sepenuhnya. 

Unit PR1MA mempunyai keluasan binaan 450 kaki persegi (suite SoHo) dan 550 kaki persegi (pangsapuri servis), dengan harga bermula dari RM250,000.

Terletak bersebelahan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Jelatek, pembangunan mega bersepadu ini dijangka menyerahkan fasa pertamanya merangkumi Menara A, unit Soho Transit Menara S serta lot runcit lebih awal daripada perancangan asal.

Pengarah Setia Awan Group, Datuk Marcus Doh berkata, pencapaian itu bukan sahaja menunjukkan kemajuan kerja yang kukuh, tetapi juga menandakan langkah penting dalam usaha kami mewujudkan persekitaran kediaman yang moden, strategik dan bersambung dengan rangkaian pengangkutan awam. 

“Ia menggambarkan visi Setia Awan untuk membentuk komuniti bandar yang lebih mampan dan berdaya huni. 

“Kerjasama dengan PR1MA bagi pembangunan salah sebuah menara kediaman menunjukkan komitmen bersama dalam membina rumah yang mudah diakses melalui pengangkutan awam berhampiran serta mampu dimiliki. 

“Pada masa yang sama, blok lain yang dijual untuk pasaran terbuka turut menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pembeli yang mahukan gaya hidup bersepadu di lokasi bersebelahan LRT,” katanya dalam ucapan sempena Majlis topping out Astrum Ampang semalam.

Astrum Ampang meliputi 5,225 melibatkan enam blok dengan blok A PR1MA melibatkan SOHO dan apartmen servis. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Mohd. Nazri Md. Shariff berkata, sebagai salah satu projek TOD PR1MA, pihaknya melihat peningkatan permintaan terhadap kediaman yang berada dalam jarak mudah ke pengangkutan awam, khususnya dalam kalangan masyarakat bandar.

“Majlis topping out Astrum Ampang ini menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama PR1MA bersama Setia Awan serta mencerminkan kemajuan pembangunan yang semakin progresif. 

“Dengan Fasa 1 yang telah siap dan fasa- fasa seterusnya mengikut jadual, kami optimis untuk menyerahkan unit PR1MA pada suku pertama 2026.

“Pencapaian ini mengukuhkan komitmen kami yang bukan sekadar membina kediaman, tetapi juga membangunkan komuniti yang terancang dan bersepadu bagi memberikan nilai jangka panjang kepada para pemilik kediaman,” katanya. 

Dengan perkembangan pembangunan yang positif menjelang 2026, Astrum Ampang dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan koridor Jelatek, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai hab TOD yang rancak dan moden. 

Astrum Ampang dibangunkan di atas tanah seluas 2.77 hektar dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.6 bilion turut berpotensi mempertingkatkan landskap perumahan bandar di Malaysia melalui rangkaian kemudahan, unit komersial serta hubungan pengangkutan ke destinasi-destinasi utama di Lembah Klang.

Pembangunan ini menampilkan pelbagai pilihan kediaman termasuk SOHO Transit, SOHO Suites dan kediaman servis dilengkapi 62 kemudahan eksklusif seperti gimnasium pintar, kolam renang, teater terbuka dan banyak lagi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN