KOTA BHARU: Banjir buruk yang ‘melumpuhkan’ Hat Yai, Thailand membuka peluang besar kepada pemain industri pelancongan mempromosikan negeri ini sebagai destinasi menggantikan kawasan itu sebagai lokasi percutian.
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Kelantan, Wan Saipul Azwal Wan Mohamad berkata, industri pelancongan negeri tidak boleh menunggu Hat Yai pulih, sebaliknya perlu bertindak segera mempromosikan Kelantan secara agresif.
“Situasi Hat Yai sekarang memberi ruang luar biasa kepada kita. Pemain industri mesti rebut peluang ini. Jangan tunggu.
“Kelantan mempunyai banyak tarikan yang boleh menggantikan pengalaman pelancongan di Hat Yai,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Wan Saipul Azwal berkata, Kelantan menawarkan beberapa lokasi dan suasana seakan-akan destinasi popular di selatan Thailand seperti pasar terapung.
Katanya, Kelantan mempunyai tiga lokasi pasar terapung di Tumpat iaitu Pulau Suri dan Sri Tanjung serta Pengkalan Datu (Kota Bharu) yang menjanjikan pengalaman lebih menarik berbanding di Hat Yai.
“Semua pasar ini sangat autentik kerana didukung komuniti setempat. Selain itu, kita ada Pasar Siti Khadijah yang menjadi ikon utama negeri ini kekal sebagai tumpuan pelancong.
“Lebih unik Train To Dabong menawarkan keindahan dan keunikan dalam semula jadi di bumi Serambi Mekah. Kelantan ada budaya, makanan, pasar tradisi, pantai, eko pelancongan serta aktiviti keluarga. Semua ini memenuhi selera pelancong yang biasanya ke Hat Yai untuk membeli-belah dan mencari pengalaman berbeza,” ujarnya.
Beliau berkata, pengusaha hotel, agensi pelancongan, pemandu pelancong dan pemain industri lain perlu segera menyediakan pakej khas, promosi bersepadu serta kempen media sosial bagi menarik aliran pelancong yang kini ‘terputus’ destinasi. – UTUSAN










