HAT YAI: Angka korban akibat banjir besar yang melanda wilayah Selatan Thailand sejak 22 November sehingga kelmarin meningkat kepada 267 orang.
Jurucakap Pusat Operasi Kecemasan Banjir (FOCEC) Ratchada Thanadirek berkata, Wilayah Songkhla mencatat jumlah tertinggi iaitu melibatkan 220 mangsa.
“Ia diikuti Wilayah Nakhon Si Thammarat mencatat 10 kematian, Pattani (sembilan kematian), masing-masing lima di Yala dan Satun, Phatthalung (empat kematian), Narathiwat (empat kematian) dan Trang (tiga kematian).
“Jumlah kematian akibat banjir ini belum mencecah 1,000. Dakwaan sesetengah pihak mengatakan lebih 1,000 meninggal dunia di Hat Yai tidak berasas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Ratchada berkata, semua mayat ini ditempatkan di Hospital Universiti Prince of Songkhla.
Katanya, pada masa sama hospital sudah menjalankan saringan kesihatan mental terhadap 7,340 mangsa banjir di Hat Yai. – UTUSAN










