Wasiyyah lancar hibah fintech pertama di dunia - Utusan Malaysia

Wasiyyah lancar hibah fintech pertama di dunia

ARIFFIN Sabirin pada sidang akhbar mengenai hibah fintech generasi baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah), syarikat amanah patuh syariah digital terbesar di Malaysia memperkenalkan teknologi hibah fintech generasi baharu yang bakal merevolusikan industri pewarisan harta Islam serta memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju inovasi digital dalam sektor ini.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah, Ariffin Sabirin berkata, pada peringkat awal, kaedah hibah fintech ini hanya melibatkan harta alih seperti wang simpanan dan pelaksanaannya adalah secara perniagaan-ke-perniagaan (B2B).

Katanya, penyelidikan lanjutan sedang dijalankan untuk meluaskan skopnya kepada jenis harta lain pada fasa seterusnya.

“Komitmen kami jelas iaitu untuk terus memacu transformasi digital dalam urusan hibah dan pewarisan harta Islam di Malaysia.

“Teknologi yang kami perkenalkan hari ini merupakan satu lonjakan besar dalam industri. Ia membolehkan hibah dilaksanakan dengan lebih cepat, selamat serta patuh syariah dan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjangkakan sambutan terhadap teknologi ini akan lebih baik, khususnya daripada golongan muda yang celik teknologi kerana ia merupakan aplikasi yang mesra pengguna dan memudahkan pemberi hibah boleh melaksanakan akad pada bila-bila masa.

Teknologi terbaharu ini dibangunkan berasaskan kejayaan Wasiyyah yang mencipta sejarah sebagai entiti pertama di dunia yang melaksanakan akad hibah digital sepenuhnya tanpa kertas melalui aplikasi mudah alih UsraHDD pada 2023.

Akad hibah digital tanpa kertas pertama di dunia ini telah terbukti berkesan dan mendapat sambutan baik masyarakat dengan lebih 7,000 orang telah menggunakannya sejak pelancarannya sehingga hari ini.

Teknologi hibah fintech generasi baharu ini dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran dalaman Wasiyyah yang terdiri daripada anak-anak tempatan.

Dengan pengenalan teknologi hibah fintech generasi baharu ini, Wasiyyah dijangka terus memperkukuh kedudukannya sebagai pelopor digital dalam urusan hibah dan penyelesaian pewarisan harta Islam di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN