ALOR GAJAH: Jenazah bayi perempuan kembar tiga, Maryam Al Khawla Mohd. Fikry Amri yang meninggal dunia pagi tadi selepas lebih 90 hari bertarung nyawa, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Abadi di sini, kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan dengan ahli keluarga terdekat hadir mengiringi bayi berusia genap tiga bulan itu ke tempat persemadian.
Bapanya, Mejar Ir. Ts. Mohd. Fikry Amri Abd. Halem, 41, berkata, beliau dan isteri, Sabrina Hakiem Zaini, 41, reda dengan ketentuan Ilahi.
Katanya, sejak dilahirkan secara pramatang pada Oktober tahun lalu, Maryam Al Khawla terus ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Melaka dan tidak pernah dibawa pulang ke rumah.
“Sejak dia dilahirkan, saya tidak pernah berpeluang mendukung atau mencium arwah kerana dia terus dirawat di NICU. Hari inilah kali pertama dan juga kali terakhir saya dapat mendukung serta mencium anak saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kelemak Utama.
Sebelum ini, kisah pasangan itu turut meraih perhatian nasional susulan tragedi kematian anak lelaki mereka, Muhammad Al-Fateh Amri ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah taska pada September 2024.
Mohd. Fikry Amri berkata, sepanjang dirawat, beliau hanya mampu melihat dari jauh berikutan prosedur rawatan yang ketat bagi mengelak sebarang risiko jangkitan kuman.
“Walaupun berat untuk kami terima, saya dan isteri reda dengan ketentuan Allah kerana setiap ujian pasti ada hikmahnya. Insya-Allah, kami percaya anak-anak syurga ini akan menanti dan memimpin kami suatu hari nanti,” katanya.
Pada 24 Oktober 2025, pasangan itu dikurniakan bayi kembar tiga hasil rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) yang dijalani pada Februari menerusi kurniaan khas Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Selain Maryam Al Khawla dengan berat 1.78 kilogram (kg), dua kembarnya ialah Maryam Al Lubna (1.8kg) dan Maryam Al Arwaa (1.93kg). – UTUSAN







