PETALING JAYA: Wasco Greenergy Berhad (Greenergy) menandatangani perjanjian pengunderaitan dengan CIMB Investment Bank Berhad (CIMB) dan Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) untuk tawaran awam permulaannya (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Menurut kenyataannya, ini menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan Greenergy ke arah menjadi sebuah syarikat tersenarai awam bagi mencapai cita-citanya untuk mengukuhkan peranannya dalam landskap tenaga boleh diperbaharui dan lestari Malaysia.
IPO tersebut akan melibatkan tawaran sehingga 150 juta saham biasa yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 75 juta saham biasa baharu (saham terbitan) dan tawaran untuk jualan sehingga 75 juta saham biasa sedia ada (saham tawaran) yang mewakili sehingga 30 peratus daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan.
Tawaran institusi akan melibatkan penawaran sehingga 119.5 juta saham IPO (yang terdiri daripada sehingga 75 juta saham tawaran dan 44.5 juta saham terbitan) kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih Malaysia.
Jelasnya, ini termasuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada harga institusi yang akan ditentukan melalui bookbuilding.
Selain itu, penawaran runcit sebanyak 30.5 juta saham terbitan kepada pengarah dan pekerja Greenergy dan anak syarikatnya yang layak, pengarah dan pekerja Wasco Berhad yang layak, pemegang saham Wasco Berhad yang berhak, dan orang awam Malaysia pada harga runcit yang akan ditentukan.
Greenergy, cabang tenaga boleh diperbaharui bagi kumpulan syarikat Wasco, mengintegrasikan lebih daripada empat dekad warisan kejuruteraan melalui Wasco Thermal Sdn Bhd dan Wasco AgroTech Sdn. Bhd.
Fasiliti pengeluaran seluas 5.8 hektar di Shah Alam berfungsi sebagai hab kejuruteraan utama syarikat iaitu lokasi pasukan mereka bentuk, mengeluarkan dan menyelenggara sistem tenaga boleh diperbaharui terma dan biotenaga untuk pelanggan di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Greenergy, Lee Yee Chong berkata, IPO ini mewakili lembaran baharu dalam perjalanan syarikat untuk mengembangkan keupayaan dan memainkan peranan yang lebih kukuh dalam landskap tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.
“Dengan kepakaran kejuruteraan dan rekod prestasi pelaksanaan yang terbukti, kami yakin dengan keupayaan kami untuk menyediakan sistem tenaga inovatif dan lestari yang menyokong penyahkarbonan industri dan memacu penciptaan nilai jangka panjang.
“Kerjasama yang kukuh dengan rakan kongsi kewangan kami mencerminkan keyakinan pasaran terhadap model perniagaan dan prospek pertumbuhan kami.
“Semasa Malaysia dan rantau ini meneruskan peralihan mereka ke arah tenaga yang lebih bersih, Greenergy komited untuk menyediakan penyelesaian yang sejajar dengan matlamat kemampanan negara dan keutamaan iklim global,” katanya.
Greenergy dijangka disenaraikan di Pasaran Utama pada Disember 2025. – UTUSAN










