Agong berkenan kurnia gelaran Datuk dan Datin Paduka kepada enam penerima

Agong berkenan kurnia gelaran Datuk dan Datin Paduka kepada enam penerima

TUNKU Mahkota Ismail (kanan) berkenan menyempurnakan pengurniaan darjah DMIJ kepada Datuk M. Kumar pada Majlis Darjah dan Pingat bagi daerah Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi dan Kulai di Dewan Utama, MBIP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang membawa gelaran Datuk dan Datin Paduka kepada enam penerima.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menyempurnakan pengurniaan darjah dan pingat tersebut pada Majlis Darjah dan Pingat bagi daerah Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi dan Kulai di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), hari ini.

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi baginda, hari ini.

Mendahului senarai penerima darjah tersebut adalah Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ), Datin Paduka Shubanah Yusuf.

Turut menerima darjah sama adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk Nasri Md Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ); Datuk Radzi Mohd. Amin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Datuk Hasrin Kamal Hashim.

Anugerah itu turut dikurniakan kepada Pengarah Tanah dan Galian Johor, Datuk Mohammed Shakib Ali dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar.

Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan darjah dan pingat berkenaan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda pada 23 Mac lalu.

Pada masa sama, seramai 27 penerima dikurniakan Pingat Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP); 21 penerima Pingat Jasa dan Lama Dalam Pekerjaan (PJP); 48 penerima Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Kedua dan 12 penerima Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Ketiga.

Berangkat sama pada majlis itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Besar Zabedah Almarhum Sultan Iskandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN