PETALING JAYA: CGS International Research (CGSI Research) menaikkan unjuran keuntungan bersih teras (CNP) Nestlé (Malaysia) Bhd. bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027 sebanyak 5.6 hingga 9.6 peratus.
Firma itu berkata, unjuran itu bagi mencerminkan pemulihan pendapatan yang lebih kukuh daripada jangkaan susulan boikot pada 2024, walaupun dengan andaian margin untung kasar yang lebih rendah.
Jelasnya, dalam keputusan 29 Oktober 2025, pihak pengurusan memaklumkan Nestlé telah mencapai kemajuan besar dalam memulihkan bahagian pasaran yang hilang dan akan meneruskan usaha ini.
“Walaupun butiran tidak diberikan, pemulihan tersebut adalah meluas di seluruh negara dan pelbagai kategori produk.
“Bagaimanapun, kami mengurangkan unjuran CNP syarikat ini bagi bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 2.5 peratus disebabkan oleh perbelanjaan cukai yang lebih tinggi pada suku ketiga tahun kewangan 2025.
“Harga sasaran (TP) yang diperoleh daripada model Gordon Growth Model (GGM) dinaikkan kepada RM92 hasil daripada unjuran pulangan ekuiti (ROE) yang lebih tinggi (sebelum ini 101 peratus) serta pelanjutan tempoh asas ke hadapan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
CNP Nestle bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 sebanyak RM114 juta, meningkat 33.5 peratus tahun ke tahun menjadikan CNP bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025 berjumlah RM387 juta, naik 3.5 peratus tahun ke tahun.
Ia merupakan kenaikan sebanyak 70 peratus hingga 75 peratus daripada unjuran firma itu dan konsensus Bloomberg bagi tahun kewangan 2025.
Dalam pada itu, CGSI Research berkata, pihaknya mengekalkan saranan ‘kurangkan’ terhadap Nestlé dengan TP GGM yang disemak naik kepada RM92.
“Ini kerana penilaian 39.7 kali ganda nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi tahun kewangan 2026 dilihat masih tinggi.
“Ini meskipun mengambil kira pemulihan keuntungan dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 16 peratus bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027, selepas kejatuhan pada tahun kewangan 2024 serta sumbangan pertumbuhan daripada perniagaan eksport.
“Kami turut menjangkakan kadar pertumbuhan pendapatan dan CNP akan kembali normal, mengurangkan semangat pasaran kebelakangan ini dengan harga saham meningkat 21.7 peratus dalam tempoh 3 bulan terakhir, sekali gus mendorong penurunan penilaian saham,” ujarnya. – UTUSAN










