Sime Darby catat untung bersih RM355 juta pada suku pertama

Sime Darby catat untung bersih RM355 juta pada suku pertama 2026

MENARA Sime.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Berhad (Sime) melaporkan untung bersih berjumlah RM355 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 berakhir 30 September 2025, lebih rendah daripada suku sama tahun sebelumnya, yang mengambil kira keuntungan sekali daripada pelupusan tanah di Lembah Wawasan Malaysia (MVV). 

Sime berkata, kumpulan mengekalkan prestasi asas yang stabil walaupun menghadapi cabaran pasaran yang berterusan. 

Katanya, usaha ini disokong oleh hasil berjumlah RM18.03 bilion yang kekal mampan berbanding RM18.26 bilion yang dilaporkan pada suku pertama tahun kewangan 2025. 

“Bahagian UMW kumpulan mencatatkan prestasi cemerlang, dengan menjana untung sebelum faedah dan cukai (PBIT) lebih tinggi berjumlah RM261 juta, iaitu peningkatan 22 peratus, disokong oleh permintaan kukuh dalam perniagaan automotif. 

“Bagi suku tahun yang dilaporkan, bahagian perindustrian mencatatkan PBIT mencecah RM293 juta, kemerosotan 14.6 peratus berbanding suku tahun yang sebelumnya,” katanya dalam kenyataan. 

Selain itu, keputusan terjejas oleh jualan peralatan yang lebih rendah di Australasia berikutan perubahan masa bagi penghantaran alat perlombongan dan pembinaan dan juga PBIT lebih rendah dalam ringgit disebabkan kenaikan mata wang negara berbanding dolar Australia. 

“Prestasi bahagian ini disokong oleh projek pusat data di Malaysia, yang memacu jualan enjin yang lebih kukuh. 

“Pasaran China juga mencatatkan hasil lebih tinggi berasaskan peningkatan jualan enjin,” katanya. 

Bahagian automotif melaporkan PBIT berjumlah RM126 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026 iaitu penyusutan 33.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. 

Prestasi pemasangan kenderaan lebih lemah di Malaysia dan penyusutan hasil kenderaan komersial dan margin di Australia menjejaskan keputusan. 

Namun begitu, margin yang lebih tinggi di Hong Kong, Macau dan Taiwan mengukuhkan pendapatan. 

“Keadaan pasaran tetap mencabar, tetapi perniagaan teras kami terus menunjukkan daya tahan khususnya UMW yang terus mencatatkan keputusan mantap.  

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, prestasi ini dilihat daripada pendapatan teras keseluruhan yang kekal konsisten secara perbandingan tahunan daripada RM359 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025 kepada RM335 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026.

“Portfolio pelbagai kumpulan terus menjadi kekuatannya. Walaupun beberapa rantau menghadapi tekanan, momentum positif dalam bidang seperti jualan kenderaan elektrik (EV) dan projek berlandaskan pusat data membantu menempuh cabaran tersebut. 

“Sambil kami mengorak langkah ke hadapan, kami memberi tumpuan terhadap disiplin operasi, pengurusan kos dan menjana nilai untuk pihak-pihak berkepentingan. 

“Kekuatan asas perniagaan kami kekal kukuh dan kami berada pada kedudukan yang mantap bagi tahun kewangan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN