Sijil halal lonjak jualan Yang’s Kitchen Recipe

Sijil halal lonjak jualan Yang’s Kitchen Recipe

CONAN menunjukkan pes makanan yang dikeluarkan oleh Yang’s Kitchen Recipe.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pes makanan siap sedia jenama Yang’s Kitchen Recipe mencatat peningkatan jualan ketara sebanyak 50 peratus selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada November 2023.

Pengarah Hong Shan Food Industries Sdn. Bhd., Conan Yeoh berkata, perbezaan ketara dapat dilihat sebelum dan selepas memperoleh pensijilan halal, khususnya dari segi sambutan serta penembusan pasaran.

“Dahulu kami sukar menembusi pasaran seperti hotel, restoran dan pasar raya besar. Namun selepas mendapat pensijilan halal, pintu pasaran terbuka luas. Kami kini boleh menjual di pelbagai lokasi termasuk pusat beli-belah utama.

“Sebelum ini, produk kami hanya dijual di kawasan bukan halal dan jualannya agak perlahan. Selepas disahkan halal, jualan meningkat dengan ketara, kira-kira 50 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurutnya, produk Yang’s Kitchen Recipe berasaskan cita rasa asli Pulau Pinang seperti masakan Baba Nyonya, Mi Hokkien, Mi Kari, Thai Laksa, Kari Ikan, Kari Daging dan hidangan tempatan lain yang disertakan dengan kod respons pantas (QR Code) untuk melihat cara penyediaannya.

Beliau berkata, walaupun bukan beragama Islam, sebagai rakyat Malaysia beliau memahami potensi besar pasaran halal memandangkan majoriti penduduk negara ini terdiri daripada masyarakat Melayu.

“Saya perhatikan ramai pengguna Melayu kini gemar mencuba makanan berasaskan masakan Cina tetapi disesuaikan dengan cita rasa tempatan.

“Contohnya, terdapat Bak Kut Teh versi halal seperti Lembu Teh dan Cik Kut Teh. Ini menunjukkan trend makanan silang budaya semakin diterima,” ujarnya.

Conan berkata, sijil halal Malaysia diiktiraf di seluruh dunia termasuk di Dubai dan China, sekali gus memberi kelebihan besar untuk menembusi pasaran Islam, khususnya di wilayah seperti Xinjiang, China.

“Di China juga terdapat ramai orang Islam, jadi kami melihat potensi pasaran yang luas bagi produk halal.

“Kami kini sedang berusaha memasarkan produk ke pasaran China. Setakat ini, jenama ini telah menembusi beberapa pasaran utama seperti pasar raya Sheng Siong di Singapura, SOGO di Hong Kong serta beberapa pusat beli-belah utama di Macau.

“Selain itu, kami juga dalam rundingan untuk memasuki pasar raya besar dan stesen minyak, serta merancang menembusi FairPrice di Singapura. Proses ini dijangka mengambil masa beberapa bulan.

“Bagi pasaran Indonesia, kami merancang untuk memasukinya tahun hadapan. Namun difahamkan, negara itu tidak sepenuhnya mengiktiraf pensijilan halal Malaysia, jadi kami mungkin perlu mendapatkan pensijilan halal tempatan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan usahawan yang ingin mendapatkan pensijilan halal agar mendapatkan khidmat perunding bertauliah.

“Perunding boleh membantu menjelaskan proses, keperluan dan piawaian yang perlu dipatuhi. Dengan bimbingan yang betul, proses ini menjadi lebih mudah berbanding dilakukan sendiri.

“Secara keseluruhan, proses mendapatkan pensijilan halal tidak sukar selagi mematuhi prosedur dan standard yang ditetapkan oleh Jakim. Dalam tempoh tiga hingga empat bulan sahaja kami berjaya memperolehnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN