KUALA LUMPUR: Platform perancangan pusaka digital, Sampul, bakal dilancarkan Disember ini dengan misi membantu rakyat Malaysia merancang dan mengurus harta secara lebih mudah, sistematik dan patuh syariah melalui satu aplikasi mesra pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arham Merican berkata, aplikasi tersebut dibangunkan bagi memudahkan pengguna membuat dua perkara utama, iaitu merancang harta semasa hidup serta mengurus harta selepas kematian ahli keluarga.
“Menerusi aplikasi itu, pengguna boleh menyediakan wasiat digital, hibah amanah dan amanah harta dengan mudah, selain dibimbing secara langkah demi langkah dalam proses selepas kematian seperti urusan jenazah, tuntutan khairat kematian, sijil kematian, tuntutan takaful dan pengagihan harta di mahkamah.
“Kami mahu menjadikan proses selepas kematian lebih tersusun dan tidak membebankan keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Arham berkata, Sampul menyasarkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada pasaran Islam tempatan, bersamaan sekitar 160,000 pengguna, selain turut terbuka kepada bukan Islam yang ingin menyediakan wasiat digital mereka.
“Bagi memastikan akses menyeluruh, platform tersebut menawarkan wasiat digital percuma bagi lima aset pertama. Selepas itu, pengguna boleh melanggan dengan hanya RM180 setahun, yang merangkumi pindaan tanpa had dan akses berterusan sepanjang masa.
“Sementara itu, untuk amanah digital, Sampul mengenakan yuran pengurusan tahunan sebanyak 1.5 peratus, manakala bagi perkhidmatan pelaksana harta (executor), hanya 1.8 peratus dikenakan untuk aset yang memerlukan proses mahkamah.
“Kami juga menyediakan sesi terapi kesedihan secara dalam talian, hasil kerjasama dengan syarikat sokongan psikologi, bagi membantu waris yang sedang berduka. Pendekatan ini bukan sekadar urusan harta, tetapi juga sokongan emosi kepada mereka yang kehilangan insan tersayang,” ujarnya.
Menurut Arham, cabaran utama yang dihadapi pihaknya ialah tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perancangan pusaka, khususnya dalam bentuk digital.
Bagi mengatasi isu tersebut, Sampul memperkenalkan Sampul Pocket Series iaitu siri mini kesedaran untuk mendidik orang ramai agar mula merancang lebih awal dan mengelakkan beban kepada waris selepas kematian.
Menjelang lima tahun akan datang, Arham optimis untuk menjadikan Sampul sebagai peneraju utama perancangan pusaka digital di Malaysia serta memperluaskan operasi ke negara Islam lain seperti Indonesia, tertakluk kepada keserasian undang-undang tempatan.
“Matlamat kami mudah iaitu menjadikan perancangan pusaka digital lebih mudah, cepat, telus dan patuh syariah untuk semua rakyat Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN










