PETALING JAYA: Saham syarikat perladangan dijangka berdepan tekanan menjelang penghujung tahun depan susulan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang semakin sederhana selepas mencapai kemuncaknya pada suku ketiga 2025, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan berkata, perkembangan tersebut dijangka memberi kesan bercampur kepada prestasi sektor perladangan tempatan, termasuk kemungkinan tekanan terhadap harga saham syarikat terbabit.
Menurut RHB Research, meskipun pengeluaran yang lebih rendah kebiasaannya menyokong harga MSM, lebihan stok yang tinggi ketika ini dijangka mengekang kenaikan harga komoditi itu dalam tempoh terdekat.
“Setakat Oktober 2025, pengeluaran MSM mencapai paras tertinggi dalam tempoh 6.5 tahun iaitu sebanyak 2.46 juta tan. Namun selepas mencatat peningkatan 11 peratus bulan ke bulan pada Oktober, pengeluaran dijangka berkurangan mulai November hingga Disember,” katanya dalam nota penyelidikan.
Tambahnya, permintaan global juga dijangka mereda selepas berakhirnya musim perayaan utama, sekali gus menyebabkan stok MSM kekal melebihi dua juta tan.
Firma itu menjangkakan keputusan kewangan suku ketiga 2025 bagi kebanyakan syarikat perladangan akan seiring dengan unjuran, disokong oleh harga MSM yang kukuh dan pengeluaran yang stabil.
“Purata harga MSM di Malaysia meningkat lima peratus suku ke suku kepada RM4,280 satu tan, manakala harga isirung sawit (PK) naik dua peratus kepada RM3,460 satu tan,” katanya.
Bagi pengeluaran buah tandan segar (BTS), syarikat Malaysia di bawah liputannya mencatat kenaikan 12.5 peratus suku ke suku, sementara syarikat Indonesia menunjukkan prestasi mendatar dengan peningkatan bersih lima peratus pada harga MSM.
Secara tahunan, RHB Research menjangkakan pendapatan sektor perladangan meningkat dengan harga MSM dan PK masing-masing berpotensi naik tujuh dan 31 peratus.
“Data Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI) menunjukkan pengeluaran meningkat 13 peratus tahun ke tahun bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, melebihi jangkaan awal,” katanya lagi.
Firma itu menjangkakan lima syarikat akan mencatat keputusan sejajar jangkaan, manakala empat lagi berkemungkinan di bawah jangkaan disebabkan output sederhana.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap saham sektor perladangan dengan unjuran harga MSM pada RM4,350 satu tan bagi 2025 dan RM4,250 bagi 2026.
Antara saham pilihan utama firma itu termasuk Johor Plantations Group, Sarawak Oil Palms, IOI Corporation, London Sumatra Indonesia, SD Guthrie Berhad dan First Resources. – UTUSAN










