PUNB, Sarawak Energy perkukuh ekosistem vendor industri tenaga tempatan di Sarawak

PUNB, Sarawak Energy perkukuh ekosistem vendor industri tenaga tempatan di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) meterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Sarawak Energy bagi memperkukuh dan membangunkan ekosistem vendor industri tenaga tempatan di Sarawak. 

PUNB menyasarkan untuk menerima 100 permohonan daripada syarikat vendor tempatan Sarawak yang layak dalam tempoh setahun. 

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, MoU tersebut merupakan isyarat jelas komitmen PUNB dan berperanan sebagai pemangkin untuk menyalurkan sokongan menyeluruh mereka.

“Ini merangkumi penyelesaian pembiayaan dan panduan korporat khusus untuk memupuk vendor tempatan yang kompetitif dan berdaya tahan.

“Kami bukan sekadar membiayai perniagaan, namun secara aktif memupuk pertumbuhan juara tempatan Sarawak yang akan memainkan peranan penting dalam melaksanakan projek tenaga utama yang menjadi teras aspirasi pembangunan Sarawak. 

“Kami berharap kejayaan mereka akan menghasilkan kesan berganda, seperti mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan memastikan lebih banyak nilai ekonomi untuk Sarawak,” katanya dalam kenyataan. 

Kerjasama itu akan menumpukan pada tiga bidang utama bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang diaspirasikan serta mencapai matlamat pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.

 Pertama, sokongan kewangan, dimana PUNB akan menawarkan akses kepada pakej pembiayaan yang disesuaikan di bawah pakej pembiayaan PROSPER atau PROSPER IMPACT, masing-masing sehingga RM10 juta dan RM5 juta. 

Pakej ini disasarkan untuk membantu vendor Sarawak Energy dalam modal kerja, pemerolehan peralatan dan mesin, automasi serta pensijilan yang diperlukan oleh industri.

Kedua, kedua-dua pihak akan bersama-sama merancang dan melaksanakan program pembangunan kapasiti vendor, latihan keusahawanan dan perkhidmatan nasihat perniagaan untuk meningkatkan daya tahan vendor serta keberkesanan pelaksanaan projek.

Ketiga, kerjasama itu akan melibatkan perkongsian data industri, pandangan dan alat amalan terbaik untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan keberkesanan ekosistem vendor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, pendekatan kumpulan terhadap pembangunan vendor yang mampan dibina atas asas perkongsian kukuh yang membolehkan perniagaan tempatan berkembang bersama mereka. 

“Bekerjasama dengan agensi pembangunan seperti PUNB membolehkan kami menyokong pertumbuhan vendor berasaskan Sarawak dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan, memperkukuh kapasiti perniagaan dan meningkatkan prestasi pelaksanaan. 

“Ini mencerminkan komitmen kami terhadap Matlamat Pembangunan Mampan 17: Kerjasama Demi Matlamat dan membina rantaian bekalan yang berdaya tahan serta inklusif yang menyokong pembangunan Sarawak,” ujarnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN