PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas), melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) sempena Pameran dan Persidangan Minyak Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2025, sekali gus menunjukkan komitmennya terhadap kerjasama global dan inovasi berasaskan teknologi.
MoU tersebut melibatkan kerjasama dengan pelbagai pemain industri global termasuk SLB, Beicip-Franlab, ConocoPhillips, Eliis, PTTEP, Microsoft, Shell dan TotalEnergies.
Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada pemerkasaan teknologi imejan seismik serta mempercepat pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) yang disokong oleh pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC).
Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong berkata, perkongsian seperti ini amat penting dalam memajukan landskap huluan Malaysia.
“Dengan menggabungkan kekuatan pengendali tenaga dan peneraju teknologi, kita bukan sahaja memperkukuh keupayaan penerokaan dan pembangunan, tetapi juga meletakkan asas bagi sektor huluan Malaysia yang lebih cekap dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.
Petronas berkata, dengan memanfaatkan pemodelan dinamik dan AI agen (agentic AI), inisiatif ini membolehkan integrasi data masa nyata, ramalan berterusan serta pembuatan keputusan secara proaktif.
Katanya, keupayaan ini bukan sahaja tertumpu kepada penilaian bawah permukaan tetapi juga pengoptimuman kemudahan luar pesisir, terutamanya melalui pelaksanaan Kemudahan Tanpa Pengawasan dan Operasi Autonomi Jarak Jauh (NUF-RAO).
Jelasnya, kemajuan ini turut menyokong penilaian teknikal dan keputusan pelaburan yang lebih cekap.
“Melalui kerjasama ini, MPM terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama bagi pelaburan huluan bernilai tinggi.
“Petronas kekal komited untuk memastikan bekalan tenaga yang optimum dan lestari dengan MPM memainkan peranan penting dalam menguruskan pengaturan petroleum serta memberikan tadbir urus terhadap aktiviti petroleum huluan di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN










