PETALING JAYA: Petronas Dagangan Berhad (PDB) mencatatkan untung bersih sebanyak RM281.25 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2025, lebih rendah berbanding RM335.14 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, PDB berkata, penurunan disebabkan oleh keuntungan kasar yang lebih rendah daripada trend harga MOPS (Mean of Platts Singapore) yang kurang memberangsangkan serta keadaan pasaran, yang diimbangi oleh peningkatan permintaan bagi Jet A1.
Bagi suku sama, hasil kumpulan rendah kira-kira dua peratus kepada RM9.53 bilion berbanding RM9.73 biion pada suku sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh purata harga jualan yang lebih rendah sebanyak enam peratus meskipun jumlah jualan yang lebih tinggi sebanyak empat peratus.
Pendapatan segmen runcit menurun sebanyak RM172.3 juta atau tiga peratus disebabkan oleh harga jualan purata yang lebih rendah sebanyak dua peratus dan pengurangan jumlah jualan sebanyak satu peratus.
Sementara itu, untung bersih bagi sembilan bulan pertama pula mencapai RM840.28 juta daripada RM837.56 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya, manakala PDB melaporkan hasil sebanyak RM27.69 bilion daripada RM28.96 bilion.
Lembaga pengarah telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 24 sen sesaham berjumlah RM238,43 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, yang akan dibayar pada 24 Disember 2025.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani, berkata, suku ini menunjukkan bagaimana pelaksanaan yang fokus mampu memberikan hasil apabila pasaran memberikan tekanan.
“Kami mencatat pertumbuhan volum sebanyak empat peratus, dengan sektor penerbangan mendahului, namun margin mengecil disebabkan tekanan harga.
“Respons kami jelas iaitu memperketat kos, kekal dekat dengan pelanggan dan terus memberikan nilai. Kami sedang membina momentum dalam bidang yang menunjukkan daya tarikan dan bergerak dengan niat yang jelas apabila keadaan memerlukan perubahan,” katanya dalam kenyataan.
Melangkah ke hadapan, PDB menjangkakan ekonomi domestik kekal berdaya tahan pada 2025 dengan unjuran inflasi sederhana, disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh, pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan pertumbuhan pelancongan masuk menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, walaupun prospek domestik adalah positif, persekitaran luaran terus menghadirkan cabaran berikutan ketidaktentuan pasaran global dan jangkaan harga minyak yang lebih rendah.
“Bagi mengharungi landskap ini, PDB kekal berhati-hati tetapi optimis dan akan terus menyesuaikan diri secara berkesan dengan turun naik pasaran.
“Pasaran akan bergerak seperti biasa. Peranan kami adalah untuk bergerak pantas, menyesuaikan diri apabila perlu dan memastikan setiap keputusan membawa kami lebih dekat kepada matlamat menjadikan hidup pelanggan kami lebih mudah dan lebih baik.
“Komitmen itu tidak pernah goyah, tanpa mengira pergerakan harga atau ketidaktentuan luar, dan ia kekal teras kepada cara kami menyampaikan nilai,” ujarnya. – UTUSAN










