Pet Universe NOURISH teroka makanan haiwan premium

Pet Universe NOURISH teroka makanan haiwan premium

TENGKU Faizwa Tengku Razif (tengah) bersama Patrick Chin (dua dari kanan) dan Kitisak Limamphai (dua dari kiri) selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Rasmi Perkongsian Strategik Global antara Pet Universe NOURISH dan IPF Thailand di Eq Hotel, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pet Universe NOURISH Sdn. Bhd. dan International Pet Food Co. Ltd. (IPF Thailand), sebuah anak syarikat di bawah CP Foods memeterai kerjasama strategik bagi mengubah landskap serantau dalam bidang pemakanan haiwan peliharaan premium, lestari dan berasaskan sains. 

Melalui kerjasama itu, Pet Universe NOURISH menjangkakan peratusan eksport syarikat itu meningkat sekitar 15 peratus pada tahun hadapan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Pet Universe NOURISH, Patrick Chin berkata, kerjasama ini bukan sahaja penting untuk syarikat itu, tetapi ia memberi manfaat besar kepada ekonomi dan industri tempatan di Malaysia. 

“la membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama untuk pemakanan haiwan peliharaan premium dan lestari di ASEAN.

“Melalui kerjasama dengan IPF Thailand di bawah CP Foods, kami dapat berkongsi pengetahuan, teknologi dan pengalaman, yang dapat membantu meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan amalan industri tempatan.

“Dalam jangka panjang, kerjasama ini boleh merangsang pelaburan baharu, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta membuka peluang eksport,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Rasmi Perkongsian Strategik Global antara kedua syarikat di sini, semalam. 

Beliau berkata, kerjasama itu turut membuka banyak peluang baharu untuk syarikat berkembang di peringkat serantau, terutama di Thailand dan negara ASEAN lain.

“Dengan adanya kerjasama bersama IPF, kami kini mempunyai akses kepada kemudahan R&D bertaraf dunia serta rangkaian pengedaran yang kuat di rantau ini. 

“Ini memberi asas yang kukuh untuk kami kembangkan produk kami dengan cara yang bertanggungjawab di luar Malaysia,” ujarnya. 

Pet Universe NOURISH turut menyasarkan jumlah sekitar 100 unit penyimpanan stok (SKU) yang kini sedang dalam perancangan untuk tahun hadapan. 

Sementara itu, Presiden IPF Thailand, Kitisak Limamphai berkata, pihaknya komited untuk menyampaikan produk makanan berkualiti tertinggi dengan integriti dan kelestarian. 

“Perkongsian kami bersama Pet Universe NOURISH ini meluaskan komitmen tersebut di dalam bidang pemakanan haiwan peliharaan. 

“Ia sekali gus mengukuhkan hubungan antara Thailand, Malaysia dan dunia serta kepimpinan kami dalam industri kesihatan haiwan peliharaan global,” ujarnya. 

Melalui perkongsian itu, kedua-dua syarikat akan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk bersama-sama membangunkan formulasi makanan haiwan peliharaan yang inovatif dan lestari, berpandukan sains dan ketelusan. 

la juga akan mengembangkan keupayaan pembuatan, kawalan kualiti dan rantaian bekalan merentasi rantau ASEAN serta mempromosikan sumber etika dan kelestarian dalam setiap peringkat rantaian nilai pemakanan haiwan pelihara. 

Dalam pada itu, majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Pembangunan Ekonomi dan Sosial Antarabangsa Malaysia (MIESDA), Tengku Faizwa Tengku Razif yang menyerlahkan kepentingan kerjasama itu sebagai model bagi kolaborasi rentas sempadan ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN