PETALING JAYA: Sektor hartanah negara dijangka terus pulih dan menunjukkan prestasi lebih stabil pada tahun hadapan, didorong oleh dasar monetari yang kekal akomodatif serta permintaan pembelian rumah yang mampan, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan berkata, kestabilan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sepanjang 2025 akan terus menyokong sentimen pasaran dan minat pembelian hartanah baharu.
Jelasnya, data Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan permohonan pinjaman pembelian hartanah meningkat 12.2 peratus tahun ke tahun pada September 2025, berbanding pertumbuhan 6.9 peratus pada Ogos.
“Peningkatan ini mencerminkan keyakinan berterusan pembeli rumah, dengan jumlah kumulatif permohonan pinjaman bagi sembilan bulan pertama 2025 mencecah RM490 bilion,” katanya.
Firma itu menjelaskan penurunan sementara sebanyak 9.6 peratus bulan ke bulan pada September 2025 dipengaruhi faktor bermusim seperti cuti sekolah dan cuti umum, namun menjangka aktiviti pinjaman akan kembali meningkat.
“Selain itu, harga rumah yang kekal stabil serta kadar faedah yang rendah dijangka terus merancakkan permintaan hartanah dalam tempoh terdekat.
“Bagi pinjaman yang diluluskan, MBSB Research berkata, angka tersebut meningkat 8.7 peratus tahun ke tahun pada September 2025, sekali gus menamatkan trend penurunan selama tiga bulan berturut-turut sejak Jun.
“Walaupun nisbah kelulusan pinjaman merosot kepada 43 peratus bagi tempoh sembilan bulan 2025 berbanding 45 peratus dalam tempoh sama tahun lalu, jumlah pinjaman diluluskan kekal stabil pada RM212.6 bilion, susut marginal 0.4 peratus,” katanya.
Dari segi prestasi kewangan, majoriti pemaju dijangka merekodkan pertumbuhan pendapatan bagi suku ketiga, didorong pengebilan kemajuan projek serta pengiktirafan jualan yang lebih tinggi.
Pada suku kedua 2025, lima daripada tujuh pemaju utama mencatatkan pertumbuhan keuntungan antara empat hingga 49 peratus, dipacu pengurusan kos lebih baik dan peningkatan aktiviti pembinaan.
MBSB Research turut menjangkakan momentum jualan kekal positif pada 2025, didorong kestabilan kadar faedah, prospek ekonomi lebih baik dan perkembangan infrastruktur utama terutamanya di Johor selain pembangunan hartanah industri di seluruh negara.
“Dari sudut pelaburan, Mah Sing Group dengan harga sasaran (TP) RM1.52 terus menjadi pilihan susulan jualan kukuh projek M Series dan pemerolehan tanah baharu di Semenyih dan Pulau Pinang.
“Sementara itu, Matrix Concepts (TP: RM1.65) dilihat kekal sebagai proksi pertumbuhan di Negeri Sembilan menerusi pembangunan Bandar Sri Sendayan dan Lembah Wawasan Malaysia (MVV),” katanya. – UTUSAN










