Minyak sawit global terus catat pertumbuhan mampan - Utusan Malaysia

Minyak sawit global terus catat pertumbuhan mampan

TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika berucap pada majlis pembukaan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ni. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Minyak sawit global terus mencatatkan pertumbuhan mampan, dengan permintaan tinggi dari Indonesia, Amerika Latin dan Afrika menjadi pemangkin utama kepada kenaikan perdagangan dan peluang ekonomi di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, trend momentum global minyak sawit semakin sukar disangkal, didorong oleh keperluan, kecekapan serta inisiatif kelestarian yang semakin meluas.

“Afrika Sub-Sahara dan ASEAN juga menunjukkan permintaan yang meningkat. Dengan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang kukuh serta keupayaan yang lengkap, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meraih peluang tersebut,” katanya dalam ucapan perasmian pada Persidangan Minyak Sawit Antarabangsa anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Beliau berkata, perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia–EFTA (MEEPA) yang dimeterai pada Jun 2025 menandakan satu titik perubahan strategik bagi sektor sawit negara.

“Melalui perjanjian ini, minyak sawit yang disahkan di bawah Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) akan menikmati akses pasaran keutamaan ke negara-negara EFTA.

“Langkah ini mencerminkan era baharu di mana perdagangan dan kelestarian bergerak seiring, membuka peluang lebih luas kepada pengeksport Malaysia di pasaran premium,” katanya.

Sementara itu, penyertaan Malaysia ke pasaran Timur Tengah semakin diperkukuh dengan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia–UAE (CEPA) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2025.

Perjanjian ini dijangka meningkatkan aliran perdagangan, khususnya bagi produk hiliran berasaskan sawit, di rantau yang semakin penting sebagai hab pemprosesan dan pengedaran minyak sayuran global.

Fadillah berkata, minyak sawit menyumbang 30 peratus daripada jumlah minyak dan lemak global, menjadikannya minyak sayuran yang paling banyak digunakan di dunia.

“Malaysia kekal sebagai pengeluar kedua terbesar, menyumbang 24 peratus daripada pengeluaran global pada 2024 dan 35 peratus daripada eksport global.

“Walaupun hanya mengusahakan 5.6 juta hektar, Malaysia berjaya menghasilkan 19.34 juta tan minyak sawit pada 2024, menunjukkan tahap produktiviti yang diiktiraf di peringkat dunia, sekali gus prestasi kelestarian terus meningkat,” katanya.

Pada tahun yang sama, beliau berkata, Malaysia mengeksport sebanyak 16.9 juta tan minyak sawit ke pasaran utama termasuk India, China, Kesatuan Eropah, Kenya, Türkiye, Jepun dan Filipina.

“Walaupun terdapat penurunan dalam jumlah eksport pada awal 2025, nilai eksport meningkat 4.9 peratus kepada RM82.6 bilion, menandakan keyakinan pasaran yang kukuh terhadap produk sawit Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN