PETALING JAYA: Malayan Banking Bhd. (Maybank) mengaktifkan program Bantuan Banjir bagi menyokong individu dan pelanggan perusahan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas, susulan banjir yang sedang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia akibat hujan lebat yang berterusan.
Bank berkata, bantuan ini disediakan segera dan bertujuan meringankan beban kewangan pelanggan Maybank yang terjejas.
Katanya, Bantuan Banjir Maybank direka untuk menangani cabaran yang dihadapi mangsa banjir dan antaranya termasuk penangguhan pembayaran pembiayaan, pengurangan ansuran bulanan atau lanjutan tempoh bayaran balik.
“Selain itu, pihak bank turut menawarkan pelepasan yuran dan caj untuk perkhidmatan tertentu seperti penggantian kad debit, kad mesin juruwang automatik (ATM) atau buku cek yang hilang atau rosak semasa banjir,” katanya dalam kenyataan.
Maybank berkata, pelanggan boleh memohon Bantuan Banjir melalui dua saluran mudah iaitu emel ke [email protected] dengan menyertakan nama/nama syarikat, nombor kad pengenalan/nombor pendaftaran perniagaan, nombor telefon dan jenis pinjaman/produk.
“Contohnya, gadai janji, sewa beli, pembiayaan pinjaman berjangka dan nombor kenderaan (untuk sewa beli).
“Selain itu, pelanggan juga boleh melawat atau menghubungi mana-mana cawangan, Pusat Perbankan Komersial atau Pusat Pembiayaan Automotif (mengikut kesesuaian) di seluruh negara.
“Bagi pelanggan PKS, mereka digalakkan menghubungi pengurus hubungan masing-masing untuk mendapatkan bantuan,” jelasnya.
Sementara itu, anak syarikat insurans Maybank, Etiqa telah menyediakan proses tuntutan yang cepat dan mudah bagi pemegang polisi insurans dan sijil takaful tanpa perlu borang atau dokumen sokongan.
Tambahnya, bagi menghantar tuntutan, pemegang polisi atau sijil boleh menghantar mesej teks, gambar atau video banjir ke nombor WhatsApp khas Etiqa 24 jam iaitu 01116306646 bagi Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Sementara itu, tuntutan untuk Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pula pada nombor 0182263288.
Selain itu, Maybank berkata, pelanggan juga boleh hubungi Careline Tuntutan Banjir Etiqa untuk Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis di talian 0326928188 dan Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan di talian 0342707735/0342705068.
Tambahnya, untuk maklumat lanjut mengenai Bantuan Banjir Maybank pelanggan boleh melawati www.maybank2u.com.my atau menghubungi Hotline Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank di 1-300-88-6688. – UTUSAN










