Malaysia kekal kukuh dalam rantaian bekalan global

Malaysia kekal kukuh dalam rantaian bekalan global, berdepan tekanan tarif

AMIR Hamzah (kanan) dan Clay Chandler dalam Forum Inovasi Fortune 2025 di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia terus membuktikan keupayaannya mengurus ketidaktentuan geopolitik dan perdagangan global, apabila kedudukan negara dalam rantaian bekalan antarabangsa kekal kukuh meskipun berdepan tekanan tarif antara kuasa besar dunia.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, memahami struktur rantaian bekalan global adalah kunci untuk menilai kesan tarif terhadap ekonomi Malaysia.

“Rantaian bekalan bagi sektor teknologi tinggi seperti sektor elektrik dan elektronik (E&E)  dan semikonduktor adalah sangat terhubung secara global. 

“Gangguan kecil dalam rantaian ini boleh memberi kesan besar di seluruh dunia,” katanya dalam Forum Inovasi Fortune 2025 di Kuala Lumpur, hari ini. 

Beliau menjawab pertanyaan Pengerusi Bersama, Forum Inovasi Fortune 2025 Ketua Editor, Asia, Fortune, Clay Chandler berkaitan hala tuju masa depan Malaysia. 

Amir Hamzah menjelaskan, Malaysia telah membina asas industri yang kuat, hasil pelaburan jangka panjang dari syarikat Barat dan China. 

Katanya, keupayaan negara mengimbangi hubungan kedua-dua blok ekonomi itu menjadikan Malaysia rakan strategik penting.

“Pendekatan kami ialah menegaskan Malaysia adalah negara yang penting untuk keperluan jangka panjang mereka. Kami mahu terus menyokong pertumbuhan global melalui bekalan komponen dan perkhidmatan bernilai tinggi,” katanya.

Amir berkata, kedudukan Malaysia yang berada di tengah rantaian bekalan memberi kelebihan kompetitif kerana negara tidak bersaing di peringkat paling atas yang memerlukan teknologi eksklusif dan tidak berada di peringkat paling bawah yang menawarkan margin terlalu rendah.

“Apabila lebih banyak nilai ditambah, rantaian bekalan kita menjadi lebih kukuh dan ekonomi semakin berdaya tahan,” jelasnya.

Amir turut menegaskan, kemampuan Malaysia mengekalkan kestabilan di tengah perubahan dasar global membuktikan kekuatan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

“Kita dapat mengharungi segala ketidaktentuan ini kerana kita memahami dengan mendalam bagaimana rantaian bekalan global berfungsi dan kita pragmatik dalam merangka dasar,” katanya.

Beliau turut menerima penghargaan daripada komuniti perniagaan atas usaha berterusan kerajaan dalam memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×