KUALA LUMPUR: Komitmen terhadap pensijilan halal menjadi asas utama dalam memperkukuh jenama tempatan, Tokyan’s Foods Industries Sdn. Bhd yang kini semakin mendapat tempat di pasaran.
Pengarah Tokyan’s Foods Industries Sdn. Bhd., Dayang Nurjannah Awang Iskanderdzulkarnein berkata, pengiktirafan sijil halal bukan sekadar syarat pemasaran, sebaliknya menjadi penanda aras penting dalam menjamin kualiti, kebersihan dan integriti produk agar terus diyakini pengguna.
Katanya, perniagaannya bermula secara kecil-kecilan dari rumah sekitar tahun 2016 dengan pembuatan kek dan pastri di bawah jenama Delcasis Bakery.
“Namun, selepas beberapa tahun, saya melihat potensi untuk menghasilkan produk yang lebih tahan lama dan sesuai dipasarkan secara lebih meluas.
“Dari situ, tercetus idea menghasilkan Sambal Tokyan, diinspirasikan daripada cita rasa saya sendiri yang sukakan sambal sedap tetapi tidak terlalu pedas, sesuai untuk semua peringkat umur. Kini, perniagaan kami berkembang ke sebuah kilang pemprosesan makanan yang beroperasi sepenuhnya di bawah nama Kilang Tokyan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, proses mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menuntut tahap komitmen yang tinggi dan perhatian terhadap setiap perincian operasi.
“Kami perlu memastikan setiap bahan mentah, pembekal serta prosedur penghasilan mematuhi sepenuhnya piawaian halal yang ditetapkan.
“Segala dokumentasi seperti invois bahan, pelan lantai kilang dan manual kawalan halal perlu disediakan dengan teratur. Walaupun prosesnya panjang dan teliti, ia membantu kami memperkukuh sistem operasi yang lebih tersusun dan bersih,” jelasnya.
Kini, Tokyan’s Foods Industries berada dalam proses pembaharuan sijil halal kali kedua.
Setiap kali pembaharuan dilakukan, katanya, ia menjadi ruang untuk menilai semula operasi serta memastikan standard kebersihan dan pematuhan halal terus dipertingkatkan.
“Sijil halal bukan sekadar simbol, tetapi jaminan kepercayaan kepada pengguna. Ia menunjukkan kesungguhan sesebuah syarikat dalam menjaga kualiti dan integriti produk,” ujarnya.
Dayang Nurjannah berkata, selepas memperoleh pengiktirafan halal, syarikatnya menyaksikan peningkatan ketara dalam keyakinan pelanggan serta penerimaan produk di pasaran.
“Banyak pasar raya, agensi kerajaan dan platform jualan besar kini lebih terbuka untuk bekerjasama kerana status halal yang sah. Ia juga memudahkan kami menyertai program promosi dan pameran di peringkat negeri serta antarabangsa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran utama dalam mengekalkan status halal ialah memastikan setiap bahan mentah mempunyai pengesahan halal yang sah dan latihan berterusan kepada pekerja.
“Setiap bahan perlu disemak satu per satu. Staf juga perlu diberi latihan agar mereka faham dan patuh kepada prosedur halal di semua peringkat pengeluaran. Ia memang mencabar, tetapi hasilnya berbaloi,” ujarnya. – UTUSAN










