AI jadi enjin baharu pertumbuhan Carsome

AI jadi enjin baharu pertumbuhan Carsome

AARON Kee ketika ditemui Utusan Malaysia di ibu pejabatnya di KYM Tower, Petaling Jaya, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SELEPAS 10 tahun ditubuhkan, Carsome kini mengubah arah daripada sekadar platform jual beli kereta terpakai kepada peneraju teknologi automotif serantau.

Sebagai syarikat ekosistem automotif terbesar di Asia Tenggara, Carsome kini melangkah ke fasa baharu pertumbuhan dengan menumpukan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara dalaman. 

Langkah ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan operasi dan analisis data syarikat, tetapi turut menjadikan Carsome antara peneraju awal dalam transformasi digital industri automotif rantau ini.

Ketua Pegawai Perniagaan Carsome, AARON KEE berkongsi dengan Wartawan Utusan Malaysia, NUR NAZLINA NADZARI mengenai strategik pertumbuhan seterusnya syarikat berstatus unicorn tersebut.

UTUSAN: Apakah strategi Carsome untuk mengekalkan momentum dan bagaimana teknologi AI digunakan dalam operasi syarikat?

AARON: Kami melihat AI sebagai tonggak utama pertumbuhan masa depan Carsome. Sekarang, kami gunakan AI dalam tiga bidang utama.

Pertama ialah penentuan harga ramalan. Dalam pasaran kereta terpakai, setiap kenderaan unik. 

Contohnya Myvi anda dan orang lain boleh mempunyai nilai berbeza bergantung pada keadaan, sejarah servis, jarak perbatuan dan sebagainya. AI membantu kami menilai semua faktor ini dan menjana harga dinamik serta masa nyata, bukan sekadar bergantung kepada data sejarah.

Kedua ialah pemeriksaan AI. Buat masa ini, pemeriksaan kereta masih dijalankan secara fizikal di pusat pemeriksaan kami atau oleh juruteknik ke rumah pelanggan. 

Namun, pada masa depan teknologi pemeriksaan berasaskan imej visual dan inframerah yang membolehkan penilaian dilakukan melalui gambar sahaja. AI akan menganalisis imej itu dan boleh buat penilaian harga. 

Ketiga adalah automasi dalam keseluruhan organisasi. Kami gunakan AI untuk membantu proses seperti penyusunan pelan perniagaan, pengurusan data pelanggan dan operasi pusat panggilan. Ini menjadikan organisasi lebih produktif dan efisien.

Adadah Carsome telah mengguna pakai AI dalam operasi syarikat ketika ini?

Ya, kami telah perkenalkan AI call centre yang dinamakan Emily. Sistem ini direka untuk mengurus sebahagian besar interaksi pelanggan kami secara automatik.

Yang menarik, AI ini mampu berkomunikasi dalam bahasa rojak Malaysia iaitu gabungan Bahasa Melayu dan Inggeris, sesuatu yang sukar dicapai sebelum ini. 

Pada peringkat awal, sistem AI hanya boleh beroperasi dalam satu bahasa. Kini, selepas kami latih model tersebut secara dalaman, ia boleh menukar bahasa dengan lancar dan bertutur dengan intonasi yang sangat semula jadi.

Hari ini, lapan daripada 10 panggilan pelanggan diuruskan oleh Emily. Banyak pelanggan tidak sedar bahawa mereka sedang bercakap dengan AI kerana suara dan tindak balasnya sangat organik.

Kelebihan terbesar adalah keupayaan skala. Panggilan paling berkesan biasanya dibuat pada waktu tengah hari, tetapi sebelum ini tenaga kerja kami terhad. 

Dengan AI, kami boleh menjalankan ribuan panggilan serentak seperti 6,000 hingga 20,000 panggilan sekali gus, tanpa isu kapasiti. Ini menjimatkan masa dan meningkatkan keberkesanan operasi.

Adakah sistem AI Carsome dibangunkan sepenuhnya secara dalaman?

Ya, majoriti sistem AI kami dibangunkan dalam oleh pasukan teknologi sendiri. Kami mempunyai lebih daripada 3,000 kakitangan dan sekitar 2,000 hingga 2,500 daripadanya adalah rakyat Malaysia. 

Hab teknologi kami juga beroperasi di Malaysia dan bukan di luar negara seperti kebanyakan syarikat teknologi lain di rantau ini.

Kami sangat berbangga menjadi syarikat Malaysia dan membina hab kami di sini. Pengasas kami juga adalah rakyat Malaysia. Kami juga sangat bersyukur dengan polisi, persekitaran yang stabil yang membolehkan kami tumbuh di sini.

Pasukan pembangunan kami bekerja rapat dengan pelbagai bahagian operasi, jadi setiap penyelesaian AI dibina mengikut keperluan sebenar perniagaan. 

Inilah yang menjadikan Carsome unik kerana kami bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pembangun teknologi automotif serantau.

Bagaimana kerjasama Carsome dengan Google membantu dalam pembangunan AI?

Kami menandatangani kerjasama dengan Google Cloud pada April lalu. Carsome memilih strategi single-cloud dengan Google kerana kami mahu menumpukan semua pembangunan data dan AI di bawah satu ekosistem.

Melalui kerjasama ini, Google menyediakan sokongan teknikal dan kepakaran untuk mempercepatkan pembangunan sistem AI kami termasuk dalam bidang machine learning, analitik data dan automasi pelanggan.

Bila pengguna boleh menjangka untuk melihat lebih banyak produk AI daripada Carsome?

Dalam tempoh 12 bulan akan datang, anda akan lihat lebih banyak pelancaran baharu yang ada dalam rancangan kami. 

Kami kini dalam fasa akhir menyusun pelan hala tuju AI syarikat untuk memastikan teknologi ini diterapkan di setiap peringkat organisasi.

Bagi kami, penerapan AI bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan. Sesiapa yang tidak menggunakan AI dalam operasi akan ketinggalan. Itu juga mesej kami kepada semua kakitangan iaitu menerima pakai AI atau ketinggalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN