BELANJAWAN 2026 yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026 – 2030 akan memberikan tumpuan untuk mengukuhkan ekonomi domestik dan menggalakkan pelaburan swasta, tatkala dalam keadaan permintaan luar yang dijangka menyederhana.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026, belanjawan ini mengimbangi antara kepentingan konsolidasi fiskal dalam mengurangkan defisit dan hutang dengan keperluan untuk merangsang pertumbuhan, menambah baik jaringan keselamatan sosial dan melabur dalam sektor yang berupaya memacu transformasi.
Katanya, Belanjawan 2026 membolehkan Malaysia meningkatkan lagi daya tahan dan pertumbuhan inklusif melalui pendirian fiskal yang mengembang, di samping kekal berhemat disokong oleh langkah dan pelaburan strategik yang bersasar.
“Insentif fiskal juga diberikan untuk menarik pelaburan swasta dari dalam dan luar negara dan disokong oleh usaha mengurangkan birokrasi dan menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan.
“Kerjasama awam swasta dan platform pelaburan bersama akan dimanfaatkan untuk meningkatkan pelaburan domestik dan pembangunan modal insan serta memangkin peralihan hijau dan digital terutamanya melalui pelbagai inisiatif oleh entiti berkaitan kerajaan,” katanya.
Tambah laporan itu, Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) memberikan penekanan kepada model berasaskan bayaran oleh pengguna untuk menggalakkan pelaburan modal swasta bagi pembangunan infrastruktur dengan tumpuan kepada projek pemangkin yang menghasilkan limpahan ekonomi yang luas.
Jelasnya, pengendalian dasar fiskal akan dilaksanakan dalam rangka kerja perundangan kewangan awam yang berlandaskan Akta 850 serta perundangan lain yang berkaitan.
“Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 yang diluluskan baru-baru ini akan meningkatkan tadbir urus dan ketelusan yang menyokong perbelanjaan awam yang cekap.
“Selain itu, analisis kemampanan hutang dijalankan secara berkala dalam rangka kerja fiskal jangka sederhana bagi menilai keupayaan kerajaan untuk memenuhi obligasi hutang pada masa hadapan,” ujarnya.
Tambahnya, pemantauan jaminan kewangan yang dihadkan pada 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah Akta 850 akan dinilai secara berterusan dan teliti bagi memastikan pendedahan risiko fiskal kekal terkawal.
“Agensi penarafan kredit antarabangsa utama juga telah mengekalkan penarafan berdaulat dan prospek negara dan pengesahan ini mengiktiraf pengurusan makroekonomi dan fiskal kerajaan yang kukuh.
“Pengukuhan kedudukan fiskal akan membolehkan Malaysia menghadapi kejutan luaran, di samping memastikan sumber kewangan mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan jangka masa sederhana dan panjang,” katanya. – UTUSAN