RMK13 lakar semula pembangunan ekonomi - Utusan Malaysia

RMK13 lakar semula pembangunan ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) mencerminkan kesungguhan Malaysia untuk menyusun semula pembangunan sosioekonomi berdasarkan kerangka Ekonomi Madani dalam mendepani ketidaktentuan global dan cabaran sosioekonomi domestik.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2026, kerangka ini merangkumi tiga teras iaitu ‘menaikkan siling’ dengan memacu pertumbuhan ekonomi negara, ‘menaikkan lantai’ dengan meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkukuh tatakelola.

Katanya, penyusunan semula ini perlu dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan untuk mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dalam persekitaran mampan serta memperkukuh kerohanian dan insaniah dalam membina sistem sosial yang kukuh berlandaskan kerangka dasar Madani.

“Dalam mencapai hasrat ini, RMK13 memfokuskan kepada empat tonggak iaitu memajukan kompleksiti ekonomi, meningkatkan mobiliti sosial, mempercepat pelaksanaan agenda pembaharuan perkhidmatan awam serta meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Pelan pembangunan ini dijangka melibatkan pelaburan yang signifikan dengan RM430 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, manakala syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan melabur RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik (DDI).

“Dalam pada itu, projek pembangunan akan dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta (PPP) dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Laporan berkata, kerajaan akan beralih daripada kebergantungan sumber kepada ekonomi penciptaan nilai yang didorong oleh kecerdasan buatan (Al), penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&l), pendigitalan, industri pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV) dan sektor strategik berimpak tinggi dalam memajukan kerencaman ekonomi.

Tambahnya, Malaysia juga akan memperkukuh kedudukan sebagai ekonomi berdaya saing dengan memanfaatkan pelbagai perjanjian multilateral, serantau dan dua hala dengan rakan dagang strategik bagi mempelbagaikan ekonomi Malaysia.

“Usaha ini menumpukan kepada pertanian pintar, teknologi digital, semikonduktor dan tenaga mampan.

“Peluang peningkatan taraf sosioekonomi penting ke arah kualiti hidup yang lebih baik seterusnya menghasilkan individu lebih berdaya tahan dan masyarakat yang terangkum demi memelihara kesejahteraan rakyat.

“Matlamat ini dapat dicapai menerusi strategi menangani ketidaksamaan dalam pendapatan serta akses kepada pendidikan dan perkhidmatan asas melalui pelbagai usaha termasuk pembaharuan gaji yang menyeluruh dan peluasan perlindungan sosial bagi setiap lapisan masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya, pendekatan seluruh kerajaan akan diperkukuh melalui pembaharuan perkhidmatan awam seperti pengenalan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 [Akta 867] (ILTIZAM)’ untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan, menerapkan kebertanggungjawaban dan memulihkan kepercayaan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN