Robot anjing kawal Piala Dunia 2026

Robot anjing kawal Piala Dunia 2026

Pihak berkuasa Guadalupe di Mexico memperkenalkan anjing robot yang akan digunakan pihak polis untuk mengawal keselamatan awam sepanjang kempen Piala Dunia pada tahun ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTERREY, Mexico: Polis Mexico bakal dibantu teknologi canggih apabila robot berbentuk anjing akan mengawal keselamatan sempena Piala Dunia 2026, kata pihak berkuasa tempatan, semalam.

Robot berkaki empat itu direka khas untuk memasuki kawasan berisiko tinggi serta menghantar rakaman video secara langsung kepada pasukan keselamatan sebelum sebarang tindakan diambil sepanjang kejohanan bola sepak berprestij dunia itu.

Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai dan akan dianjurkan bersama oleh Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada.

Majlis Perbandaran Guadalupe, yang terletak dalam kawasan metropolitan Monterrey dan menjadi salah satu lokasi perlawanan, memperoleh robot berkenaan dengan kos AS$145,000 (RM569,197).

Rakaman video yang dikongsi kerajaan tempatan menunjukkan robot tersebut bergerak di dalam bangunan terbiar, menaiki tangga dan meronda kawasan sambil menyalurkan imej secara langsung kepada anggota polis yang mengikutinya dari belakang.

Dalam demonstrasi itu, robot berkenaan turut berdepan seorang lelaki bersenjata dan mengarahkannya supaya meletakkan senjata menggunakan pembesar suara terbina.

Datuk Bandar Guadalupe, Hector Garcia berkata, penggunaan robot tersebut bertujuan membantu polis dalam tindakan awal serta mengurangkan risiko terhadap keselamatan fizikal anggota bertugas.

“Robot ini akan digunakan sekiranya berlaku sebarang kekecohan atau situasi berbahaya,” katanya.

Stadium BBVA yang akan dikenali sebagai Estadio Monterrey sepanjang kejohanan dijadual menjadi venue kepada empat perlawanan Piala Dunia 2026. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN