Ringgit mengukuh, ditutup pada 4.18 berbanding dolar AS - Utusan Malaysia

Ringgit mengukuh, ditutup pada 4.18 berbanding dolar AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit meneruskan momentum positif pada akhir dagangan minggu ini apabila ditutup pada 4.1840/1920 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Pada sesi awal pagi, ringgit didagangkan hampir tidak berubah kepada 4.1935/2050 berbanding penutupan semalam pada 4.1935/1985.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell, menunjukkan keputusan dasar monetari akan terus bergantung kepada data ekonomi dan keadaan semasa, sekali gus menandakan bahawa penurunan kadar faedah tidak akan berlaku secara automatik atau “pra-tetap”.

“Ini bermakna kemungkinan kadar faedah dikekalkan pada tahap semasa juga masih tinggi dan perkara ini menambah kepada ketidakpastian dalam pasaran mata wang serantau, “katanya kepada Utusan Malaysia.

Disebabkan keadaan tersebut, ringgit dijangka terus bergerak dalam julat terhad, dengan sokongan asas yang kekal stabil di tengah-tengah ketiadaan petunjuk baharu daripada data ekonomi utama AS.

“Bagi minggu hadapan, ringgit dijangka kekal stabil dalam lingkungan RM4.19 hingga RM4.20 berbanding dolar AS, berikutan penutupan sementara kerajaan AS yang menyebabkan kurangnya penerbitan data ekonomi rasmi,” katanya.

Beliau menjangkakan, pelabur akan mengambil pendekatan berhati-hati menjelang penerbitan semula laporan pekerjaan dan inflasi AS bulan depan, yang dijangka memberikan petunjuk lebih jelas mengenai hala tuju dasar monetari Fed.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ringgit dijangka terus mengukuh berikutan peningkatan permintaan terhadap mata wang tempatan, susulan minat pelabur global yang dilihat mula beralih daripada aset dan simpanan di AS.

Ujarnya, pelabur kini semakin berhati-hati terhadap prospek kadar faedah di AS yang dijangka mencapai kemuncaknya, mendorong mereka mencari peluang di pasaran baru muncul dengan kadar pulangan yang lebih menarik.

“Sekiranya momentum ini berterusan, ringgit berpotensi mengukuh ke paras antara RM4.10 hingga RM4.15 berbanding dolar AS dalam tempoh seminggu akan datang,” katanya.

Beliau berkata, pengukuhan ringgit ini memberi manfaat kepada peminjam, terutamanya mereka yang mempunyai pinjaman dalam mata wang asing, kerana kos pembayaran balik menjadi lebih rendah.

“Namun, keadaan ini mungkin menjejaskan pendapatan bank dan pemberi pinjaman, yang akan menerima pulangan lebih kecil apabila nilai dolar AS melemah,” katanya.

Jelasnya, dengan pelabur semakin kurang berminat untuk melabur di AS, negara-negara lain yang menawarkan kadar faedah lebih tinggi dijangka menjadi tumpuan baharu bagi aliran modal antarabangsa.

“Pasaran sedang menilai semula risiko dan pulangan. Negara dengan dasar monetari yang lebih ketat mungkin akan mendapat manfaat daripada perubahan sentimen ini,” katanya.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka terus menguji aras RM4.18 atau lebih rendah minggu depan.

“Ringgit akan terus mengukuh tetapi tidak mendadak kerana kenaikan mendadak tidak bagus untuk pengekspot kerana pulangan dlm ringgit lebih sedikit.

“Pemeteraian perjanjian antara China dan AS juga memberikan petanda positif kepada ekonomi dan secara langsung membantu pengukuhan ringgit, ini kerana China merupakan rakan dagang utama malaysia yang memastikan momentum pertumbuhan ekonomi dunia dikekalkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN