PETALING JAYA: Proton e.MAS 5 mencatat sebanyak 1,607 tempahan dalam tempoh 24 jam selepas tempahan dibuka secara rasmi pada 4 Oktober lalu.
Sambutan luar itu susulan selepas siaran langsung khas “Open for Booking” yang pertama, diadakan pada Sabtu lalu di Proton e.MAS Nilai, di mana Proton e MAS 5 dipamerkan kepada rakyat Malaysia, sebuah kenderaan elektrik (EV) mampu milik pertama di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net), Zhang Qiang berkata, pihaknya terharu dengan sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia terhadap Proton e.MAS 5.
“Sejak dari awal, misi kami jelas, kami mahu semua orang mampu memiliki sebuah EV. Dengan e.MAS 5, impian itu kini jadi kenyataan dan inilah EV paling mampu milik pertama di Malaysia, direka khas untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Siaran langsung tersebut telah disiarkan serentak di lapan halaman Tik Tok dan satu halaman Facebook, termasuk saluran rasmi Proton e.MAS.
Acara itu berjaya menarik kira-kira 572,000 penonton secara langsung dan selepas pelancarannya, jumlah tontonan telah melebihi satu juta dan terus meningkat di seluruh negara
Dengan anggaran harga permulaan antara RM60,000 hingga RM80,000, Proton e.MAS 5 berdiri sebagai kenderaan elektrik mampu milik pertama di Malaysia, direka untuk merealisasikan mobiliti elektrik untuk semua.
Mempunyai saiz kompak setaraf kereta segmen B namun menawarkan ruang dalaman seluas segmen-C, ia menawarkan praktikaliti dan keselesaan, menjadikannya pilihan ideal untuk kegunaan harian rakyat Malaysia
Dalam pada itu, Proton e MAS 5 turut menawarkan kelincahan sebuah kereta segmen B dengan keselesaan setaraf segmen C, gabungan terbaik untuk pemandu Malaysia.
Ia ditambah pula dengan pusingan radius terbaik dalam kelasnya, kawalan pacuan roda belakang yang tepat, serta paparan status pengecasan langsung, rakyat Malaysia kini memiliki sebuah EV yang bukan sahaja mudah akses, tetapi juga benar-benar menyeronokkan untuk dipandu.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia boleh mendaftar minat untuk Proton e.MAS 5 melalui laman web rasmi Proton e.MAS, atau membuat tempahan terus di mana-mana 43 wakil pengedar Proton e.MAS di seluruh negara.
Untuk membuat tempahan, anda hanya perlu membayar tempahan sebanyak RM99 dan nikmati keistimewaan eksklusif pembeli awal seperti Kad Proton e MAS Touch ‘n Go edisi terhad dengan nilai RM100 dan rebat RM500 daripada yuran tempahan, namun tertakluk kepada terma dan syarat.
Tawaran itu sah untuk 5,000 pelanggan pertama yang berjaya mendaftar e MAS 5 mereka. – UTUSAN