HULU TERENGGANU: Seorang guru dan pekerja kantin yang bakal berkahwin maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV), Toyota Fortuner dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring dekat Bukit Kawah, di sini petang tadi.
Laluan digunakan pemandu SUV, Hassan Shazali, 52, bersama Suzaimah Che Azis, 34, itu ditutup untuk kegunaan awam sejak lebih setahun lalu ekoran kejadian tanah runtuh.
Difahamkan, pasangan berkenaan akan berkahwin pada 25 Disember ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Hassan yang bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir dan Suzaimah pekerja kantin sekolah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, Hassan dan Suzaimah dikatakan dalam perjalanan pulang ke Gua Musang, Kelantan selepas menghadiri urusan di Kuala Terengganu.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Toyota Fortuner dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 60.96 meter,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua mayat dibawa ke Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, kejadian berlaku di jalan Persekutuan manakala permukaan jalan tidak rata dan ditutup kepada semua kenderaan berikutan kawasan tanah runtuh dan kejadian berlaku pada waktu siang dalam keadaan cuaca baik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN










