KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) dan Kuching City sama liat apabila kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, dekat sini malam ini.
Pemain gantian, Engku Nur Shakir Yacob memastikan TFC tidak tersungkur di laman sendiri selepas menyumbat gol penyamaan pada masa kecederaan.
Pasukan pelawat memperoleh gol pendahuluan menerusi bekas pemain TFC, Petrus Shitembi pada minit ke-43 perlawanan.
Perlawanan itu turut menyaksikan dua pemain dibuang padang selepas berlaku pergaduhan di hujung permainan.
Pertahanan TFC, Safwan Mazlan dilayangkan kad merah manakala pertahanan The Cats, Filemon Anyie dilayangkan dua kad kuning sekali gus kad merah selepas didakwa bergaduh dengan Safwan.
Keputusan itu menyaksikan Kuching City berada di tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 21 mata manakala TFC pula di kedudukan kelima dengan 15 mata daripada 10 perlawanan. – UTUSAN











