Perdagangan negara naik kepada RM257.5 bilion pada September - Utusan Malaysia

Perdagangan negara naik kepada RM257.5 bilion pada September

DAGANGAN Malaysia dijangka cecah RM2.99 trilion tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah perdagangan Malaysia meningkat kepada RM257.5 bilion pada September 2025, disokong oleh pertumbuhan eksport dan import masing-masing bernilai RM138.7 bilion dan RM118.8 bilion, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata eksport negara merekodkan peningkatan tahunan sebanyak 12.2 peratus atau RM15.1 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan ini dipacu oleh prestasi kukuh beberapa negeri utama, terutamanya Pulau Pinang (+RM11.5 bilion), Johor (+RM3.5 bilion) dan Selangor (+RM662 juta).

“Selain itu, beberapa negeri lain turut mencatatkan pertumbuhan eksport positif termasuk Perak (+RM135.7 juta), Sabah (+RM105.5 juta), Negeri Sembilan (+RM99.1 juta), Perlis (+RM5.7 juta) dan Melaka (+RM2.5 juta).

“Bagaimanapun, beberapa negeri menunjukkan penurunan nilai eksport seperti Kedah (-RM515.3 juta), Sarawak (-RM359.4 juta) dan W.P. Labuan (-RM46.5 juta).

“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama negara dengan sumbangan 41.6 peratus, diikuti Johor (19.8 peratus), Selangor (15.1 peratus), Sarawak (5.6 peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, nilai import turut meningkat RM8 bilion (+7.3%) berbanding bulan yang sama tahun lalu, disumbangkan oleh peningkatan ketara di W.P. Kuala Lumpur (+RM4.4 bilion), Pulau Pinang (+RM2.2 bilion) dan Johor (+RM2 bilion).

“Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar kepada import negara dengan 25.1 peratus, diikuti Johor (24.2 peratus), Pulau Pinang (22.5 peratus), Kuala Lumpur (10.3 peratus) dan Kedah (4.8 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN