PETALING JAYA: PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini memperkenalkan penjenamaan semula enam pas perjalanan utama dengan nama baharu dalam Bahasa Melayu, selaras dengan usaha menyeragamkan identiti jenama Rapid dan memperkukuh penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam perkhidmatan pengangkutan awam negara.
Pengumuman tersebut dibuat sempena acara Santai Bersama Rapid KL 2.0 yang berlangsung di pekarangan Stesen Taman Perindustrian Puchong.
Penjenamaan semula ini melibatkan enam pas utama yang kini dikenali dengan nama baharu berikut: –
- Rapid Kembara (dahulunya Pas MyTourist)
- Rapid Kota (dahulunya Pas MyCity)
- Rapid Mesra (dahulunya Pas OKU Smile)
- Rapid Keluarga (dahulunya Pas Keluarga Malaysia)
- Rapid Pelajar (dahulunya MyRapid Pelajar)
- Rapid Emas (dahulunya MyRapid Warga Emas)
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, berkata langkah penjenamaan semula ini merupakan strategi penting bagi memperkukuh identiti jenama Rapid agar lebih dekat di hati rakyat serta mudah difahami oleh pengguna.
“Penjenamaan semula ini bukan sekadar penyegaran visual, tetapi langkah strategik untuk memperkukuh identiti jenama Rapid agar lebih dekat di hati rakyat dan mudah difahami pengguna.
“Langkah ini juga selaras dengan saranan kerajaan dalam memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada persediaan Prasarana menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), memandangkan pengangkutan awam bakal memainkan peranan penting dalam memudahkan pergerakan serta memperkaya pengalaman pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Sebagai contoh, Rapid Kembara dikhususkan untuk pelancong yang ingin menerokai bandaraya dengan mudah menggunakan pengangkutan awam, manakala Rapid Kota mencerminkan mobiliti harian masyarakat yang dinamik. Semua nama baharu ini dipilih agar lebih dekat di hati rakyat dan mudah dikenali,” jelas beliau.
#RakanRapid: Meraikan Kepelbagaian Pengguna
Acara hari ini turut menyaksikan pelancaran #RakanRapid, satu inisiatif baharu yang meraikan kepelbagaian pengguna pengangkutan awam serta semangat komuniti.
Pelancaran #RakanRapid menandakan langkah baharu dalam pendekatan komunikasi jenama Prasarana. #RakanRapid memperkenalkan sekumpulan watak karakter yang mencerminkan pelbagai latar belakang pengguna pengangkutan awam; daripada pelajar, pekerja profesional dan pencinta budaya, sehinggalah kepada keluarga, warga emas serta individu berkeperluan khas.
Setiap watak ini melambangkan personaliti pengguna sebenar yang menjadikan pengangkutan awam sebahagian daripada rutin kehidupan harian mereka. Melalui #RakanRapid, Prasarana berhasrat untuk menghubungkan jenama Rapid dengan rakyat secara lebih dekat, inklusif dan bermakna.
“Kami mahu setiap pengguna berasa bahawa mereka bukan sekadar penumpang, tetapi sebahagian daripada komuniti besar yang kami gelar #RakanRapid, bersama sama menuju ke arah pengangkutan awam yang lebih mampan, inklusif dan progresif,” tambah Amir.
Inisiatif penjenamaan semula dan pelancaran #RakanRapid ini mencerminkan komitmen berterusan Prasarana untuk memperkukuh visinya sebagai pilihan utama mobiliti bandar, sekali gus menjadikan pengangkutan awam sebahagian daripada gaya hidup warga kota yang progresif, mampan dan berdaya saing.
Sokongan Komuniti dan Ekonomi Tempatan
Kawasan acara hari ini turut dimeriahkan dengan bazar Seleksi Lokal, sebahagian daripada inisiatif Rapid KL Support Lokal milik Prasarana, yang menampilkan lebih 35 usahawan tempatan yang menjual makanan, minuman serta barangan gaya hidup.
Pengunjung juga berpeluang menebus subsidi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di MyGrocer, iaitu pasar bergerak yang turut disediakan di lokasi.
Selain itu, terdapat pameran dan jualan barangan eksklusif Rapid KL, dan juga penglibatan rakan strategik seperti Sea Makeup, Zus Coffee, serta rakan media Melodi yang memeriahkan acara melalui pelbagai aktiviti promosi dan interaksi bersama pengunjung.
Amir menjelaskan bahawa penglibatan peniaga tempatan dan rakan strategik mencerminkan komitmen berterusan Prasarana dalam menyokong komuniti sekitar serta memperkukuh ekosistem ekonomi tempatan di kawasan operasi perkhidmatan.










