Median upah bulanan meningkat 4.3 peratus pada Jun 2025 - Utusan Malaysia

Median upah bulanan meningkat 4.3 peratus pada Jun 2025

PURATA gaji di Malaysia meningkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Median upah bulanan bagi pekerja formal adalah sebanyak RM2,864 pada Jun 2025, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh Malaysia kekal kukuh pada suku kedua 2025, berikutan peningkatan berterusan penduduk bekerja.

“Bilangan pekerja formal warganegara turut menunjukkan peningkatan tahun ke tahun, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.5 peratus kepada 6.97 juta orang pada Jun 2025 dan median upah bulanan terus mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 3.6 peratus, 5.4 peratus dan 4.3 peratus pada April, Mei dan Jun 2025.

“Menerusi perbandingan mengikut jantina, pekerja formal lelaki menyumbang 55.1 peratus kepada 3.84 juta orang daripada jumlah pekerja formal pada Jun 2025, menerima sebanyak RM100 lebih daripada perempuan bagi median upah bulanan.

“Median upah bulanan pekerja formal lelaki adalah RM2,900 manakala pekerja formal perempuan yang menyumbang 44.9 peratus kepada 3.13 juta orang daripada jumlah pekerja formal keseluruhan memperoleh median upah bulanan sebanyak RM2,800,” katanya.

Menurut beliau, perincian statistik upah mengikut kumpulan umur menunjukkan semua kumpulan umur mencatatkan peningkatan tahun ke tahun yang konsisten untuk median upah bulanan.

“Pertumbuhan tertinggi dicatatkan dalam kalangan pekerja pada umur bawah 20 tahun dengan menerima median upah bulanan sebanyak RM1,700 pada Jun 2025, peningkatan sebanyak 13.3 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

“Pekerja formal berumur 45 hingga 49 tahun memperoleh median upah bulanan tertinggi iaitu RM3,800 pada Jun 2025,” ujarnya.

Mohd. Uzir berkata, beberapa sektor mencatatkan peningkatan median upah bulanan sepanjang ketiga-tiga bulan pada suku kedua 2025.

“Sektor perlombongan dan pengkuarian hanya membentuk 0.6 peratus daripada keseluruhan pekerja formal, mencatatkan pertumbuhan median upah bulanan tertinggi tahun ke tahun sebanyak 10.2 peratus dengan pencapaian RM6,500 pada Jun 2025.

“Sementara itu, sektor pertanian yang mewakili 1.9 peratus daripada pekerja formal mencatatkan median upah bulanan terendah pada RM2,200 menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun kepada 10.0 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya.

Selain itu, median upah bulanan juga mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang positif bagi semua negeri pada suku tahun kedua 2025.

Sebanyak tiga negeri melepasi median upah bulanan nasional RM2,864, dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada RM4,064, diikuti Selangor RM3,145 dan Pulau Pinang RM2,927.

Bagaimanapun, median upah bulanan terendah direkodkan di negeri Kelantan iaitu RM1,764, diikuti Perlis RM1,800, serta Sabah dan Kedah iaitu RM2,000, pada tempoh yang sama.

Berkaitan taburan upah, 10.4 peratus daripada jumlah pekerja formal warganegara menerima upah bulanan bawah RM1,700 pada Jun 2025, berkurang sebanyak 12.2 mata peratus berbanding Jun 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN